SPM 2016 catat Gred Purata Nasional lebih baik | Selangorkini


SPM 2016 catat Gred Purata Nasional lebih baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik iaitu 5.10 berbanding 5.15, pada tahun 2015.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, seramai 8,647 dari 434,535 atau 2.13 peratus calon SPM 2016 memperoleh semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 9,721 calon, pada tahun 2015.


Katanya, seramai 102 calon atau 1.94 peratus calon memperoleh A+ tahun ini berbanding 163 calon atau 2.6 peratus, pada tahun sebelumnya.

“Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

SPM“Walaupun Gred A berkurangan, GPN semua mata pelajaran meningkat secara signifikan. Ini bermakna prestasi keseluruhan pelajar meningkat tetapi yang mendapat gred tinggi (semua A) berkurangan kemungkinan tertumpu B+.

“Secara keseluruhan, prestasi pencapaian individu pelajar adalah lebih baik, pada tahun ini,” katanya dalam sidang media.

Seramai 434,535 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2016 berbanding 440,682 calon pada 2015 iaitu berkurangan 1.39 peratus atau 6,147 calon.

Seramai 340,698 atau 85.21 peratus calon layak dianugerahkan sijil SPM 2016 iaitu 313,667 calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala 27,031 adalah calon selain sekolah kementerian.

Manakala, bagi sijil GCE O-Level untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, seramai 214,971 calon atau 52.83 peratus berjaya memperoleh sijil itu.

Seramai 40,725 calon atau 55.11 peratus daripada 73,891 calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan layak menerima sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account melalui kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan Pearson, United Kingdom.

Bagi calon berkeperluan khas, Khair berkata, 510 atau 58.42 peratus dari 873 calon layak dianugerahkan SPM.

Pada masa sama, katanya, 41 dari 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 28 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala prestasi empat mata pelajaran tidak berubah.

“Empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi, manakala mata pelajaran teras lain seperti Matematik, Sejarah dan Pendidikan Moral mencatatkan penurunan.

“Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.32 Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), manakala mata pelajaran Matematik menunjukkan penurunan tertinggi iaitu 0.29 GPMP,” katanya.

Sementara itu, pencapaian GPN bagi calon luar bandar menunjukkan peningkatan 0.08 iaitu 5.36 pada tahun 2016 berbanding 5.44, pada tahun 2015.

Katanya, pencapaian calon di bandar pula meningkat 0.05 iaitu 4.89 pada tahun 2016 berbanding 4.94 pada tahun 2015.

“Hal ini menunjukkan peningkatan pencapaian calon di luar bandar lebih tinggi berbanding calon di bandar,” katanya.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor

Nurul Farina Nazlan


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next