Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

SPR sekat hak pengundi kali pertama di Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa cuba menafikan tanggungjawab dan hak pengundi pemilih kali pertama sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Jay Jay Denis mendakwa, SPR cuba memanipulasi hak pengundi Selangor menerusi bantahan pendaftaran alamat kediaman pemilih bagi Parlimen Sepang.

Katanya, spekulasi negatif berhubung isu berkenaan juga timbul apabila hanya kaum Cina sahaja dipanggil bagi memberikan penerangan berkait maklumat kediaman pengundi.

Jay Jay Denis“Saya tidak faham apa yang dilakukan SPR apabila mengemukakan bantahan membabitkan kaum tertentu. Adakah mereka menetapkan perbezaan itu mengikut kaum atau bantahan (alamat) dibuat merujuk kepada satu kaum sahaja yang majoritinya pengundi baru bagi kawasan ini.

“Saya minta SPR kalau mahu tipu rakyat, jangan buat begini dan keutamaannya jangan susahkan rakyat,” katanya selepas hadir pada Sesi Pendengaran Siasatan Awam yang turut dihadiri lebih 50 pengundi bagi Parlimen Sepang, di sini, hari ini.

Terdahulu, sesi pendengaran dibuat sebagai bantahan susulan timbulnya keraguan alamat kediaman pemilik yang didakwa SPR sebagai ‘alamat tidak dikenali’.

Mempertikai alasan itu, Jay menyifatkan kenyataan berkenaan tidak masuk akal selain berkait agenda tertentu parti kerajaan di peringkat persekutuan.

“Kalau tidak dikenali, bagaimana kiriman surat boleh dihantar kepada penerima sebelum ini? Ia alasan yang langsung tidak masuk akal.

“Tindakan SPR ini seolah-olah menampakkan suruhanjaya ini sudah bekerjasama dengan parti politik tertentu,” katanya.

Sesi pendengaran siasatan awam SPR dijalankan susulan timbulnya bantahan proses pendaftaran pemilih yang didakwa tidak bertepatan dengan prosuder suruhanjaya itu.

Antara pertikaian dibangkitkan termasuklah isu pendaftaran alamat pengundian dan status daftar pemilih pengundi PRU-14.

Satu elemen penting dalam sistem pilihan raya ialah seseorang pemilih itu mestilah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dia boleh mengundi dalam pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:- warganegara Malaysia; berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan; seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan tidak hilang kelayakan.

Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

Pengundi boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya.

-NFN-


Pengarang :