Subang Jaya ke arah bandar mampan | Selangorkini


Subang Jaya ke arah bandar mampan

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 15 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan pelbagai program pemuliharaan alam sekitar bagi mewujudkan bandar mampan dan persekitaran hijau di kawasan pentadbirannya.

Perancangan dijalankan MPSJ itu seiring pembangunan secara konstruktif di bawah Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 serta agenda Kerajaan Negeri ke arah Smart Selangor.


Antara program dijalankan adalah kempen cintakan alam sekitar sempena Bazar Ramadan, ‘community edible greens’, program keceriaan bersama penduduk MPSJ, kempen bebas polisterina dan pengurangan beg plastik, sejak beberapa tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, langkah terbabit dipraktikkan sebagai perancangan pihaknya bagi mencapai sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri ke arah larangan penggunaan bahan itu, mulai tahun ini.

“MPSJ sudah mulakannya sejak awal dan pada 2016 kita gerakkannya berperingkat seperti di Bazar Ramadan juga premis perniagaan,” katanya.

ydp mpsjLangkah dipraktikkan PBT itu mendapat kerjasama baik dan respon positif daripada masyarakat serta pihak berkaitan dengan penyertaan membanggakan dalam aktiviti dianjurkan yang memudahkan perancangan MPSJ ke arah memberikan perkhidmatan berkualiti kepada komuniti serta menjadikan Subang Jaya sebagai bandar mesra alam sekitar.

Inisiatif MPSJ memulihara dan meningkatkan kelestarian alam sekitar mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima anugerah ‘The International Freen World Ambassador 2016’ daripada ‘The Green Organization’ yang dilangsungkan di The Crystal, Royal Victoria Docks, London, pada 8 Ogos tahun lalu.

Pengiktirafan anugerah terbabit adalah kesinambungan pencapaian diterima MPSJ di peringkat negara dan antarabangsa di atas komitmen PBT itu membentuk komuniti juga bandar mampan.

Di samping mengharumkan nama negara di mata dunia, MPSJ bertekad untuk terus menghasilkan inovasi sosial yang signifikan sebagai komitmennya selaku kerajaan tempatan yang inovatif dan dinamik serta merealisasikan hasrat komuniti menjadikan perbandaran itu sebagai sebuah bandar hijau, pada 2030.

-AA-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next