Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor ingatkan Ahli Dewan Negeri kekal prinsip integriti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Ahli Dewan Negeri supaya mengekalkan prinsip integriti, ketelusan dan urus tadbir yang baik serta institusi berwibawa sebagai asas ekonomi di negeri itu.

Titah baginda, ‘economic fundamentals’ bukan lagi tertumpu kepada persoalan ‘balance of payments’ dan angka ekonomi semata-mata.

“Beta amat sukacita apabila prinsip yang beta nyatakan tadi mendasari pentadbiran Kerajaan Negeri dan menyuntik keyakinan pelabur untuk berlabuh serta mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan,” titah baginda di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke Lima Dewan Negeri Selangor yang ke 13, di Bangunan Annexe, di sini, hari ini.

Sidang dun sultanTerdahulu, Laporan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sehingga 31 Disember 2016, memperlihatkan Selangor mencatat jumlah pelaburan RM7.88 bilion dengan lebih 50 peratus pelaburan dikuasai pelabur tempatan.

Sehubungan itu, baginda mahu pelaburan yang besar itu berupaya mewujudkan ‘value creation’ bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Titah baginda, pelaburan itu mencipta 16,427 peluang pekerjaan dan 242 projek perkilangan iaitu jumlah tertinggi direkodkan di Malaysia.

Baginda turut yakin Invest Selangor akan terus mengekalkan kecemerlangan dan maju ke hadapan dengan mendakap gerakan Industri 4.0 membabitkan kemajuan dalam digital ‘fabrication technologies’.

“Invest Selangor mesti menjamin hasil yang positif dalam lima kluster yang ditetapkan iaitu elektrik dan elektronik, sains hayat, makanan dan minuman, peralatan pengangkutan serta jentera dan peralatan.

“Invest Selangor harus meneruskan kerjasama dengan MIDA dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) bagi menjamin kedudukan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara,” titah baginda.

-NFN-


Pengarang :