SUKANKINI

Tekad kekal juara SUKMA, Selangor rangka pelan dua tahun

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 21 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor giat merangka pelan dua tahun sebagai persediaan utama untuk mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA), 2018.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pelan tersebut dilaksanakan sejak Oktober lalu meliputi dua fasa utama ke arah melahirkan atlet berkualiti yang mampu mengharumkan nama negeri.

“Kita sudah mulakannya dalam fasa pertama sejak Oktober lalu dan kini fasa kedua sedang dilaksanakan MSN.

“Namun MSN sedang menunggu senarai akhir yang akan diputuskan untuk kejohanan ini sebelum sebarang perancangan akhir dibuat.

“Senarai inilah yang menentukan kadar fasa yang sudah kita tetapkan pada kejohanan SUKMA 2018 depan,” katanya pada sidang media di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini.

Dalam kejohanan dwi-tahunan 2016 lalu, Selangor muncul juara buat kali kesembilan sejak temasya mula dianjurkan pada 1986 dengan kutipan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Sementara itu, negeri Perak dipilih sebagai penganjur bagi kejohanan SUKMA 2018 edisi ke-19 depan.

Kali terakhir Perak menjadi tuan rumah kejohanan sukan itu pada 1994.

Mengulas lanjut, Amirudin optimis kontinjen Selangor mampu mengekalkan prestasi terbaik untuk memberikan saingan terbaik dalam kejohanan sukan paling berprestij itu.

Beliau percaya, hasil komitmen dan usaha gigih barisan atlet dan gerak kerja MSN mampu merealisasikan hasrat tersebut.

“Sudah pastinya SUKMA 2018 adalah kejohanan yang sangat penting bagi Selangor untuk kekalkan kemenangan yang sudah kita capai pada 2016 lalu.

“MSN pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatatkan keputusan terbaik kepada rakyat dan arena sukan negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :