NASIONAL

Tempoh mohon e-Pengeluaran KWSP dikurangkan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Tempoh permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi e-Pengeluaran akan dikurangkan bagi menjimatkan masa pemohon.

Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran KWSP, Zalikar Yusoff berkata, pihaknya berusaha meningkatkan bilangan pihak ketiga seperti bank menyertai e-Pengeluaran bagi menyediakan perkhidmatan lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos.

Katanya, e-Pengeluaran dijangka mengambil masa dua hari untuk disiapkan, tertakluk kepada permohonan pinjaman perumahan dalam talian disahkan bank dan ahli mengesahkan cap jari mereka di kaunter KWSP.

“Pengeluaran secara konvensional lazimnya mengambil masa lebih sembilan hari untuk diselesaikan, bermula daripada permintaan penyata bank sehingga permohonan itu diluluskan.

“Melalui e-Pengeluaran, permintaan untuk penyata penebusan bank dilakukan secara elektronik oleh KWSP, manakala maklumat pinjaman perumahan diperoleh secara dalam talian terus dari bank.

“Dengan ini, ahli dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata, permohonan biasa yang tidak memerlukan proses khas seperti pembiayaan semula akaun diproses serta-merta selepas jawapan diterima.

kwsp-logo “Ahli akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas dan makluman akan dihantar ke peti masuk mesej i-Akaun mereka untuk pergi ke kaunter KWSP terdekat bagi pengesahan cap ibu jari.

“Dalam senario ini, jika ahli sudah melakukan pengesahan cap ibu jari sebaik menerima pemberitahuan, tempoh masa proses boleh diselesaikan dalam tempoh tiga hari selepas tarikh penyerahan,” katanya.

Pada 2016, daripada 264,000 aplikasi e-Pengeluaran diterima, 132,772 membabitkan pengeluaran perumahan dan 130,613 pengeluaran pendidikan.

Daripada jumlah itu, 120,411 permohonan diluluskan melalui e-Pengeluaran, dengan 33,364 membabitkan pengeluaran perumahan dan 87,613 untuk pendidikan.

Antara bank yang mengambil bahagian dalam e-Pengeluaran ialah RHB Bank, Maybank, Bank Islam, OCBC Bank, Bank Simpanan Nasional, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

-AA-


Pengarang :