BERITA UTAMA NASIONAL

AMK kecam Speaker, ingatkan Umno jangan jadikan RUU 355 modal politik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 APR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik saranan etua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima usul Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

dr-afifBagaimanapun, Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, polemik RUU 355 yang dimainkan Umno sebelum ini tidak wajar digunakan sebagai modal politik dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“AMK menyambut baik saranan Datuk Seri Anwar yang menerima usul RUU 355 dan secara prinsipnya bersetuju bahawa RUU355 yang diperjelaskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai salah satu usaha memperkasakan sistem perundangan Mahkamah Syariah di negara ini.

“AMK juga beranggapan, polemik berkenaan RUU355 yang dimainkan Umno sebelum ini tidak harus lagi digunakan sebagai modal politik dan menimbulkan keresahan di dalam masyarakat.

“Kami juga mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menafikan perbahasan RUU355 dengan menangguhkan sidang lebih awal daripada kebiasaan,” kata Afif dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Katanya, tindakan Pandikar membuktikan Barisan Nasional dengan sengaja dan terancang menggunakan isu itu bagi mewujudkan kontroversi dan polemik berpanjangan.

Terdahulu, Abdul Hadi membentangkan RUU355 pada persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Bagaimanapun, RUU355 tidak sempat dibahaskan ekoran tindakan Pandikar menangguhkannya hingga ke persidangan akan datang.

-NFN-


Pengarang :