Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir SUKE, amaran keras buat pemaju

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 17 APR: Peringatan keras dikeluarkan kepada pihak pemaju yang bertanggungjawab menyebabkan punca berlakunya banjir di Bukit Teratai berdekatan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemaju bertanggungjawab digesa mematuhi syarat wajib pembinaan projek mega mengikut piawaian ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Kejadian banjir kilat ini menarik perhatian serius Kerajaan Negeri dan ia sudah dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk pastikan pemaju wajib mematuhi syarat ditetapkan.

“Garis panduan perlu dipatuhi sepenuhnya membabitkan pembinaan ruang tadahan yang mesti dibina sebelum projek mega diteruskan bagi mengelakkan banjir kilat berulang,” katanya.

AzminMohamed Azmin berkata, pemaju tidak seharusnya menumpukan kepada perolehan keuntungan dan mengenepikan aspek keselamatan penduduk.

“Kita mahu pemaju ada rasa tanggungjawab dengan tidak memikirkan aspek keuntungan sahaja tetapi lebih penting adalah keselamatan penduduk di kawasan pembangunan itu.

“Malah, kita juga tidak mahu pihak berkuasa tempatan dibebankan dengan kerja pembersihan dan penyelenggaraan apabila bencana berlaku tetapi pemaju ambil jalan mudah untuk lepas tangan.

“Ini amaran yang sudah ditetapkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeridan kita akan pastikan pihak bertanagungjawab patuh kepada arahan ini,” katanya pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang di Hotel Flamingo, baru-baru ini.

Untuk rekod, ia adalah kali kedua kejadian banjir berlaku di kawasan sama bagi tempoh dua bulan lalu.

Memetik laporan MalaysiaKini, kejadian banjir pertama berlaku pada 19 Mac lalu, manakala yang kedua berlaku tiga hari lalu dengan 17 kediaman terjejas dalam banjir kedua tidak jauh dari lebuh raya SUKE dibina.

Sementara itu, Sinar Online melaporkan, kerja pembersihan sudah dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di lokasi kejadian.

Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, pemaju projek dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sudah dipanggil bagi membincangkan isu itu.

“MPAJ sudah keluarkan ‘stop work order’ kepada pemaju projek sementara LLM juga akan membuat pemantauan lebih kerap terhadap projek itu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :