Selangorkini
SELANGOR

Bas Smart Selangor MBSA catat lebih sejuta penumpang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 APRIL: Perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus menerima sambutan memberangsangkan dengan catatan penumpang melebihi 1 juta.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, laluan pertama mencatat 1.2 juta penumpang, bermula 15 Julai 2015 hingga 28 Februari lalu.

Katanya, laluan kedua dan ketiga yang mula beroperasi pada 1 November 2016 masing-masing mencatat 48,745 dan 88,519 penumpang.

“Melalui perkhidmatan ini, MBSA berhasrat membantu mengurangkan beban masyarakat memerlukan ekoran kos sara hidup semakin tinggi.

“Pada masa sama, kita juga dapat mempromosi penggunaan kenderaan awam serta mengurangkan pengunaan kenderaan persendirian yang melepaskan gas karbon monoksida.

SHAHRIN“Ia sekali gus membantu merealisasikan matlamat Shah Alam menjadi bandar raya rendah karbon menjelang 2030,” katanya kepada SelangorKini.

Laluan pertama Bas Smart Selangor MBSA bermula di Stesen Komuter Shah Alam dan antara lain melalui Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pasar Seksyen 6, Universiti Selangor (UNISEL), Jakel dan Hospital Shah Alam.

Laluan kedua pula bermula di Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dan antaranya melalui Wisma MBSA, Plaza Shah Alam, Pusat Akuatik Shah Alam, Lembaga Zakat Selangor, AEON Mall, Pasaraya Giant, Politeknik Shah Alam dan Stesen Komuter Batu 3.

Sementara itu, laluan ketiga juga bermula di Stesen Komuter Shah Alam dan melalui Pusat Komersil 18, Terminal 17, Sekolah Menengah Khas Vokasional, Pangsapuri PKNS 24 dan Persiaran Jubli Perak.

-AA-


Pengarang :