Berjayakah TN50 Najib realisasikan 50% tenaga pakar wanita? | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Berjayakah TN50 Najib realisasikan 50% tenaga pakar wanita?

OLEH RODZIAH ISMAIL

Saya merujuk kenyataan Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) mampu merealisasikan sasaran lebih 50 peratus tenaga pakar tempatan terdiri daripada kalangan wanita.

Beliau berkata perkara itu mampu dicapai dengan pelaksanaan pelbagai aspirasi yang disuarakan generasi muda untuk TN50, seperti peluang pendidikan dan pekerjaan lebih baik, terutamanya untuk kaum wanita.


Bagi saya, perlu diambil maklum bahawa sasaran kuota 30 peratus golongan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi telah pun tercapai apabila 1,419 pegawai wanita atau 35.6 peratus golongan itu kini berada dalam peringkat pembuat dasar di sektor awam.

Persoalannya, mengapakah peranan golongan wanita hanya diteliti menjelang 2050? Iaitu untuk 30 tahun ke hadapan. Mengapakah tidak sekarang?

Namun begitu, saya melihat realitinya terdapat perkara yang membimbangkan berkaitan isu tenaga kerja wanita berpendidikan tinggi dan berkemahiran ini. Statistik terbaharu menunjukkan pertambahan jumlah graduan, terutamanya wanita, tidak selari dengan jumlah mereka yang bekerja.

Dalam konteks ini, sekiranya lebih ramai golongan wanita yang berpendidikan dan berkemahiran bekerja, pendapatan negara dijangka akan meningkat dan produktiviti juga akan menjadi lebih baik.

Oleh itu, saya rasa kerajaan perlu memikirkan strategi untuk mendorong lebih banyak penglibatan wanita yang berpendidikan dan berkemahiran memegang jawatan-jawatan utama dalam aktiviti ekonomi di Malaysia.

Walaupun saya melihat peningkatan jumlah tenaga kerja berpendidikan adalah tidak memberangsangkan, berbanding peningkatan jumlah enrolmen dan jumlah graduasi daripada institusi pendidikan tinggi.

Selain itu, kerajaan juga wajar meneruskan usaha untuk membawa pulang lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya wanita, yang berhijrah keluar negara untuk kembali bekerja di negara ini.

Untuk merealisasikan TN50 bagi sasaran wanita, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan polisi kerja yang lebih praktikal. Golongan wanita harus mempunyai waktu kerja fleksibel serta memastikan adanya pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja dan komuniti, supaya mereka tidak terikat dengan tempat kerja semata-mata.

Dalam menjayakan wawasan ini, saya yakin dengan memikirkan semula beberapa polisi serta peraturan di tempat kerja, golongan wanita boleh menjadi penyumbang utama dalam pasaran buruh. Sekali gus masalah kekurangan pekerja berpendidikan serta berkemahiran, khususnya dalam kalangan wanita dapat dikurangkan.
* Rodziah Ismail adalah ADUN Batu Tiga

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next