Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Budaya tradisi keilmuan demi pembangunan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali gembira dengan sambutan yang dipamerkan pengunjung pada Pesta Buku Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Katanya, penganjuran kali ke-12 itu menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri membudayakan tradisi keilmuan melalui pembacaan buku berkualiti demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

“Kita bukan sahaja mahu Selangor maju dalam konteks pembangunan fizikal sahaja tetapi ingin pencerahan dalam kalangan rakyat supaya minat terhadap budaya pembacaan.

AZMIN (1)“Tradisi keilmuan ini paksi utama dalam menjamin masa depan lebih cemerlang untuk Selangor,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian Pesta Buku Selangor 2017 dengan tema ‘Ilmu Itu Realiti’, hari ini.

Beliau berkata, potensi yang ditunjukkan industri buku daripada peminat, penulis serta penebit turut disokong Kerajaan Negeri menerusi usaha penterjemahan beberapa karya agung antarabangsa dalam Bahasa Melayu.

Katanya, ia akan menjadi perangsang untuk merancakkan wacana intelektual pada masa hadapan.

Pesta Buku Selangor 2017 yang berlangsung selama 11 hari disertai lebih 90 pempamer daripada pelbagai syarikat penerbitan tempatan dan pengedaran buku, bahkan pesta buku itu turut menempatkan pusat informasi program Inisiatif Peduli Rakyat bagi membolehkan orang awam mendapat penjelasan berhubung program bantuan yang ada di Selangor.

Penganjur mensasarkan kehadiran 500,000 pengunjung selain menyediakan cabutan bertuah wang tunai RM500 sebanyak sembilan kali sehari bermula jam 12.00 tengahari hingga 6.00 petang.

-NFN-


Pengarang :