BERITA UTAMA NASIONAL

Cabutan bertuah tonjol kisah ‘suka dalam duka’ Umno

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 APR: Semakin menghampiri pilihan raya, penolakan ahli Umno terhadap parti itu semakin teserlah, kata Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Menurutnya, Umno terpaksa memberi habuan mewah menerusi cabutan bertuah bagi menarik kehadiran ahlinya menyertai sambutan ulang tahun parti itu ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Mei ini.

“Ini terbukti apabila Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan tujuh kereta termasuk sebuah ¬†Proton Perdana dan 10 motosikal menanti ahli Umno dalam bentuk cabutan bertuah.

“Penasihat Umno wajar diberikan kepujian kerana dapat menyedari bahawa perhimpunan kali ini hanya akan menjadi medan protes ahli mereka sendiri.

“Maka, ahli Umno akan hadir beramai – ramai dan akan menunggu sehingga selesai sambutan Ulang Tahun ini. Acara ini akan digunakan sebagai senjata persepsi politik yang menunjukkan sokongan padu terhadap Umno menuju PRU 14 akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivanan berkata, pendekatan diguna pakai Umno itu hanya mencerminkan ‘suka dalam duka’ yang dihadapi pemimpin tertinggi parti itu.

“Realiti tetap realiti, kerana seramai mana yang hadir untuk cabutan bertuah itu, tidak akan sesekali menjauhkan penderitaan rakyat termasuk ahli Umno sendiri dengan harga barang dan kos sara hidup meningkat, kualiti kehidupan merudum, bebanan cukai GST serta pemansuhan subsidi terhadap barang-barang keperluan,” katanya.

-nR-


Pengarang :