Carulean | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

Carulean

OLEH WAFA AWLA

Februari, 2016

AIR mata tak sempat disambut hujung lengan baju kerana jatuh terlalu laju. Rindu – hanya sepatah kata, selebihnya kelu. Tidak terlalu susah untuk mencari bibir yang menyebut kalimah itu kerana di dadanya terbit cahaya biru samar kemudian bergemintang.


Dia yang seru saya datang. Saya bersemangat kerana dia orang ke-21 untuk saya sampaikan rindu. Kamu tahu maknanya? Ini kali terakhir saya akan lakukan tugas untuk orang yang menyedihkan. Sumpahan saya akan berakhir dan saya boleh kembali ke istana menjadi pari-pari semula.

Kalau gagal, saya perlu menghantar rindu kepada 40 orang lagi. Ini gila. Seperti biasa, saya terbang di tengah malam ketika orang itu tidur – dadanya akan ada cahaya biru yang perlu saya ambil dan hantar kepada orang yang dirinduinya. Syaratnya, ia mestilah orang yang menangis teresak-esak akibat rindu dan tertidur kerananya.

Tidakkah pekerjaan ini untuk orang-orang yang menyedihkan? Saya sudah saksikan berpuluh-puluh cerita sayu; itu melelahkan.

Ini tugas terakhir. Saya bertenggek di tepi jendela seperti hari-hari sebelumnya. Cahaya bulan memantulkan bayang-bayang ke lantai. Cahaya biru mulai bergerak-gerak dari dadanya, terapung perlahan-lahan pergi ke arah saya. Hening.

“Carulean?”

“Kamukah itu?” Suara itu kedengaran lagi. Saya masih diam. Lampu tidak begitu terang tetapi saya dapat melihat lelaki tua itu duduk di katilnya. Kami saling berpandangan.

Hadiah-sastera“Ka… kamu boleh lihat saya?” Tidak pernah dalam sejarah manusia boleh melihat Carulean. Apalagi bercakap-cakap!

“Semestinya kamu Carulean burung pembawa rindu. Saya fikir itu kisah dongeng!”

Suaranya sebak. Matanya berkaca. Saya kira dia teruja, kemudian menghampiri saya di jendela. Perlahan langkahnya.

“Seperti mimpi berjumpa kamu, Carulean. Tepat waktunya; saya hampir putus asa. Saya seperti sudah mati.” Terketar-ketar tangannya menarik kerusi duduk di depan saya. Nafasnya turun naik.

“Jadi rindu ini untuk siapa?”

Disember, 1941

Wo dengzhe ni huilai, wo dengzhe ni huilai

(Aku menunggu kaupulang, aku menunggu kaupulang)

Wo xiangzhe ni huilai, wo xiangzhe ni huilai

(Aku bermimpi kaupulang, aku bermimpi kaupulang)

Dia gadis Tionghoa bekerja di gerai seberang jalan. Saya selalu berulang-alik melalui jalan itu; kadang-kadang mengintipnya dari jendela rumah tumpangan. Kerana dia, saya menjadi orang yang mencintai malam. Waktu itulah ,dia membersihkan gerai jualan gula-gula sambil bernyanyi merdu walau saya tidak tahu maksudnya. Begitu indah.

“Ha, sudah kuagak! Kau sudah jatuh hati, Sim?” Nyaris gugur jantung disergah Maarof. Dia menyambung ketawa. Saya pura-pura tidak mengerti. Kemudian suatu malam, saya dan Maarof melewati depan gerai itu.

“Ayuh Kasim, tanya namanya. Lekas!” Saya geleng tidak mahu; sebetulnya malu. Tetapi Maarof tidak dipanggil Maarof kalau tidak panjang akalnya. Ditolaknya saya ke arah gadis itu kemudian menghilang. Kami saling memandang, serentak menunduk.

“Lagu yang cik nyanyi itu sungguh merdu.” Itulah ayat pertama. Kerana gugup, terlupa meminta maaf, apatah lagi bertanya namanya. Gadis itu sedikit terkejut; tersenyum malu.

“Bai Guang,” katanya.

“Wah, nama yang bagus.” Tiba-tiba dia tertawa.

“Bukan. Nama penyanyi lagu itu Bai Guang. Saya Liling.”

“Liling.” Saya mengulangnya.

INFO HADIAH SASTERALiling menyanyikan lagu itu lagi. Begitulah kami meraikan perkenalan. Semuanya berjalan baik. Saya bahkan membelikan Liling sapu tangan biru pekat dengan corak bersulam bunga Melur sempena ulang tahun kelahirannya. Saya menemui Liling petang itu; tidak meminta apa-apa, cukuplah hanya senyuman.

Berpusu-pusu kapal terbang tiba-tiba muncul. Nampaknya tentera udara mengadakan pertunjukan. Alangkah indahnya dunia meraikan hari ulang tahun Liling. Ramai orang keluar menyaksikan. Dari jauh saya melihat Liling mengadah ke langit.

“Liling!” Saya melambainya. Liling tersenyum manis; mengangkat tangan ingin membalas lambaian saya namun…

“Bom!”
Dentuman kedengaran di sana-sini. Semua lari bertempiaran. Ada yang lintang pukang berlari tapi ditembak pula. Tak sempat memahami kejadian itu, namun dada saya hampir terkeluar kerana terlalu kencang debarnya. Tanah bergegar. Saya menyembunyikan diri. Tangisan dan pekikan orang berselang seli. Sukar hendak diceritakan keadaan dahsyat itu kepada kamu tapi yang pasti, seluruh tubuh saya terketar-ketar.

Adakah dunia sudah kiamat?

Apabila keadaan reda, saya keluar dari tempat persembunyian. Mayat bergelimpangan tidak berkepala. Bangunan dan jalan raya hancur. Gerai Liling tak kelihatan lagi. Seseorang dari hujung kota memberitahu saya, Jepun telah menduduki Tanah Melayu. Memang Jepun berdendam dengan China sejak tahun 1937; Khabarnya, General Yamashita mengarahkan Sook Ching, operasi pembersihan etnik kaum Cina.

Perasaan nihil mencengkam jantung sehingga saya terlupa bagaimana untuk bernafas. Betapa berharap janganlah Liling ditembak rawak atau ditikam bayonet.

Saya ditangkap dan dijadikan buruh paksa. Bermulalah hidup saya seperti neraka. Bekerja mengangkut tanah dan menambak jalan. Berhadapan dengan rotan, sepak tampar, penyakit bahkan kematian. Terkadang tidak makan.

Tahulah saya, hidup ini ada bahagian yang kita tiada apa-apa pilihan. Bertahan untuk terus hidup adalah satu-satunya cara membuktikan kekuatan.

Entah bagaimana, saya terserempak dengan Maarof yang juga menjadi buruh paksa.

“Liling masih hidup, Sim. Kami sembunyikan dia. Cuma rambutnya dipotong dan berpakaian lelaki untuk lindungi diri. Kau harus pulang cari Liling.”

Maarof bukanlah Maarof kalau tidak panjang akalnya. Kami ke hutan kononnya mencari buluh. Maarof mengambil miang buluh dan memindahkan ke tubuhnya. Saya tiru perbuatannya. Apabila terbit keringat, tubuh kami bertukar merah. Tentera Jepun menyangka kami dijangkiti penyakit dan dihantar pulang.

Setiba di Tanah Melayu, saya lekas-lekas mencari Liling. Berjam-jam melewati jalan untuk sampai ke kampung yang dikatakan Maarof. Tiada yang kenal. Saya menyusup ke semak-semak mana tahu Liling bersembunyi di sana. Tidak ada. Saya tidak tahu harus seperti apa lagi mencari Liling.

Mungkin terlalu memikirkan Liling, saya selalu bermimpi dia menjerit nama saya seperti meminta tolong. Saya akan terjaga lalu teresak-esak menangis. Sejak itu, saya menyedari ada bahagian dalam diri saya yang hilang. Berkali-kali saya merayu supaya takdir mencabut rasa ini. Tiada apa-apa terjadi. Takdir menemukan, takdir menghukumkan.

Ni huishen bu huilai, ni huishen bu huilai

(Mengapa kau tak pulang, Mengapa kau tak pulang)

Wo yaodeng ni huilai, wo yaodeng ni huilai

(Aku menunggu kaupulang, Aku menunggu kaupulang)

Saya seperti terdengar suara Liling menyanyikan lagu itu sayup-sayup kemudian hilang dalam kesedihan yang panjang.

Februari, 2016

Dia menyeka air mata. Saya kira ceritanya sudah habis. Saya menatap kelopak matanya yang sarat dengan cerita lampau yang dipendamnya sendiri-sendiri. Saya baru sedar lelaki ini menggenggam sapu tangan biru lusuh di tangan kanannya.

“Pergilah, Carulean. Sampaikanlah rindu ini kalau dia masih hidup” Dia kemudian menerbangkan saya ke udara.

Saya sedang mencari Liling sewaktu kamu membaca catatan ini. Ahh, adakah kamu sedang merindu? Kerana saya mungkin akan tiba di jendela bilik kamu.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next