Selangorkini
NASIONAL

Dasar pendidikan perlu kajian, pastikan integrasi kaum diperkukuh

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 18 APRIL: Dasar pendidikan di peringkat Persekutuan memerlukan kajian menyeluruh bagi membolehkan sentimen integrasi nasional di sekolah vernakular dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi , Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peranan sekolah vernakular untuk meningkatkan nilai perpaduan antara kaum semakin terhakis.

“Saya setuju masih wujudnya kekangan berkait isu integrasi nasional dalam sektor pendidikan tetapi saya fikir adalah tidak adil untuk menyalahkan sekolah jenis vernakular semata-mata.

“Saya menyokong sekolah kebangsaan tetapi kita harus pastikan sekolah kebangsaan itu inklusif dan mempunyai kualiti terbaik supaya dapat menarik ibu bapa daripada pelbagai kaum menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada SelangorKini.

Nik Nazmi berkata, dasar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) lebih terbuka berbanding sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan sekali gus mendorong kemasukan lebih besar masyarakat menghantar anak-anak ke SJKC.

“Realitinya sekolah jenis kebangsaan Cina lebih majmuk dengan kemasukan pelajar Melayu dan India di SJKC berbanding pelajar Cina dan India di sekolah kebangsaan.

“Ini masalah dalam sistem sekolah pendidikan kita sekarang dan sebab itulah kita perlu berbincang bagaiamana untuk menjadikan sekolah kebangsaan itu popular dan Kerajaan Negeri tentunya mendukung hasrat itu,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengakui sistem pendidikan negara bercampur aduk dan tidak mementingkan perpaduan nasional sebagai tonggak utama.

Memetik laporan Astro Awani, Zahid turut mencadangkan supaya satu aliran sahaja diperlukan dalam sistem pendidikan negara ini.

Terdahulu, Nik Nazmi ditemui pada Program Ramah Mesra bersama penerima bantuan sekolah Selangor di Auditorium Inpens, pagi ini.

=EZY=


Pengarang :