Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Disiplin dan perpaduan kukuh parti, PAKATAN tawan Putrajaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SEREMBAN, 16 APRIL: Pemimpin dan anggota KEADILAN perlu mementingkan disiplin dan perpaduan di dalam parti bagi membentuk kerjasama mantap seterusnya mengukuhkan Pakatan Harapan (PAKATAN) ke arah memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kedua-dua aspek itu perlu menjadi keutamaan dan apabila parti bercita-cita meletakkan satu gagasan baru bagi memenangi PRU maka watak dinyatakan mesti ditampilkan jika inginkan kemenangan.

“Di antara ciri-ciri untuk menang PRU, pertama sekali ialah soal disiplin di dalam parti kerana ia amat penting dan disiplin bukan sahaja kita letakkan tanggungjawab kepada anggota parti tetapi pemimpin juga mesti mempunyainya.

“Apabila pemimpin berpegang kepada disiplin parti dan mendapat dukungan anggota parti, inilah kekuatan yang akan menjamin kemenangan dalam PRU akan datang,” katanya dalam majlis perasmian Konvensyen KEADILAN Negeri Sembilan di sini, semalam.

KEADILANKonvensyen dirasmikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut dihadiri Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan, Amiruddin Harun.

Beliau seterusnya menjelaskan biarpun berlaku perbezaan pandangan di dalam parti namun pemimpin dan anggotanya harus meletakkan perpaduan sebagai antara aspek penting bagi pengukuhan parti.

Ini kerana, Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, perbezaan berlaku itu adalah satu kekuatan yang mampu diatasi dengan sikap keterbukaan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Tiada siapa boleh menafikan selama hampir 20 tahun ini KEADILAN memainkan peranan cukup besar di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah, kini kita ingin tunjukkan ekoran Umno-Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan paling nazak.

“Di dalam PAKATAN juga berlaku masalah namun jangan dijadikan halangan untuk melangkah sebagai satu kekuatan kerana ia peluang bagi kita menonjolkan kepimpinan dengan KEADILAN mampu melakukannya untuk melangkah ke Putrajaya dalam PRU ke 14 (PRU14) nanti,” katanya.

=EZY=


Pengarang :