Selangorkini
SELANGOR

DNS jatuh hukuman pencelaan pertama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) buat pertama kalinya, menjatuhkan hukuman berbentuk pencelaan (admonishment), terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, hari ini.

Hukuman dibacakan Timbalan Speaker, Shafie Ngah dengan Mat Nadzari diarahkan berdiri di hadapan DNS.

“Berdasarkan penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan dewan, Yang Berhormat didapati bersalah dan akan dihukum melalui pencelaan atau ‘admonishment’ di dewan ini,” katanya di DNS, di sini.

Terdahulu, lebih lima wakil rakyat menyertai perbahasan usul dibentang ADN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang mengesyorkan supaya hukuman berbentuk pencelaan dikenakan terhadap Mat Nadzari.

Selain Xavier, jawatankuasa berkenaan turut dipengerusikan Speaker DNS, Hannah Yeoh dan dianggotai Dr Yaakob Sapari, Hasnul Baharuddin, Mohd Haslin Hassan, Tiew Way Keng dan Datuk Johan Abdul Aziz.

Ketika membacakan hukuman, Shafie turut memberikan beberapa teguran termasuk tuntutan berfikir dan mengkaji sebelum membuat ucapan.

“Yang Berhormat juga diingatkan agar jangan berprasangka buruk apatah lagi apabila melibatkan institusi beraja.

“Pejabat Speaker juga menyediakan unit penyelidik yang boleh membantu ADN membuat kajian berkenaan hal ehwal perbahasan DNS.

“Amat aneh dan mengecewakan Yang Berhormat memilih untuk tidak membuat kajian komprehensif mahupun menggunakan kemudahan disediakan ini,” katanya.

Pada 1 November 2016, Mat Nadzari ketika berucap di DNS antara lain berkata terdapat sebahagian komponen pentadbiran negeri berniat untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan.

Berdasarkan kenyataan itu, pada 10 November 2016, ADN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim membawa usul untuk merujuk Mat Nadzari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

-nR-


Pengarang :