Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Enak, Tapi…Halal Ke? menarik, perlu lebih promosi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 APR: Program ‘Bual Bicara Jalan ke Syurga Enak, Tapi…Halal ke?’ berjaya menarik minat orang ramai yang berkunjung ke Dataran Kemerdekaan di sini, baru-baru ini.

PROGRAM JALAN KE SYURGA (3)Bagaimanapun, beberapa pengunjung yang ditemui SelangorKini memberitahu, program itu memerlukan promosi lebih banyak supaya dapat menarik lebih ramai hadir ke program bermanfaat berkenaan.

Noor Akma Ahmad Kamal, 32, yang menetap di Seksyen 15, di sini, berkata, beliau hanya mengetahui program itu apabila melihat ramai orang di Dataran Kemerdekaan berbanding malam minggu sebelumnya.

“Program ini bagus sebab boleh dapat pengetahuan berkenaan halal haram yang mungkin kita tak tahu. Kita juga boleh mendengar ceramah sambil bersantai bersama keluarga, cuma saya rasa perlu lebih banyak promosi supaya orang tahu,” katanya.

Azahari Arshad, 45, yang tinggal di Klang pula mencadangkan program seumpama itu turut diadakan di tempat tumpuan awam seperti kompleks membeli-belah di daerah lain.

“Pertama perlu lebih banyak promosi. Selain itu, adakan juga di tempat lain seperti kompleks membeli-belah dan jangan buat di Shah Alam sahaja tetapi adakan di daerah lain seperti Klang,” katanya.

Azhari berkata, penganjuran program seperti itu di kompleks membeli-belah mampu menarik pelbagai golongan termasuk golongan bukan Islam.

“Halal bukan sahaja soal sembelihan dan tanggapan biasa yang selalu kita dengar sahaja tetapi juga menekankan isu kebersihan yang patut menjadi amalan semua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam,” katanya.

PROGRAM JALAN KE SYURGA (2)Sementara itu, pelajar Darul Quran Sabak Bernam, Fariz Mukmin Jaafar, 20, pula berkata program seperti itu mampu menarik minat orang ramai kerana diadakan secara santai.

“Sangat bagus kerana dibuat secara santai dan boleh menarik minat orang yang meluangkan masa bersama keluarga. Mereka boleh dapatkan pengetahuan sambil merehatkan minda, pada malam minggu,” katanya.

Ketika menyentuh pembabitan masyarakat bukan Islam dalam industri halal, Fariz berkata, umat Islam perlu memberikan contoh yang baik terlebih dahulu bagi menarik minat golongan terbabit.

“Seharusnya orang Islam lebih peka kerana orang bukan Islam akan melihat kita dahulu. Kita kena peka dengan perkara berkenaan halal dan haram dengan menerangkan sebabnya, barulah orang bukan Islam lebih berminat,” katanya.

-NFN-


Pengarang :