Gagal serap tekanan beri peluang pasukan lawan | Selangorkini


Gagal serap tekanan beri peluang pasukan lawan

OLEH AFIX REDZUAN

LARKIN, 16 APRIL: Jurulatih PKNS FC, E Elavarasan menyifatkan kegagalan pemainnya menggunakan pengalaman bagi menyerap tekanan ketika diasak menyebabkan mereka memberikan peluang kepada Johor Darul Takzim (JDT) menjarakkan kedudukan.

Katanya, sikap terburu-buru itu membuka peluang pemainnya tersilap langkah hingga menghadiahkan sepakan penalti


“Dalam situasi itu kita patut menggunakan pengalaman sebab lawan cuba masuk ke dalam kotak penalti dan mendapatkan sesuatu (penalti).

“Mungkin pertahanan kita terburu-buru sedikit kalau lepaskan mungkin beliau akan buat hantaran ke tengah. Itu satu kesilapan kita lakukan di bahagian pertahanan,” katanya.

Menurutnya, JDT merupakan pasukan yang baik dan PKNS FC perlu menerima keputusan 2-1 walaupun cuba mencari gol penyamaan hingga penghujung permainan.

Menyentuh soal peluang PKNS FC yang sepatutnya memperolehi sepakan penalti Elavarasan berkata ia berbeza dengan keadaan JDT memperoleh sepakan penalti.

Katanya, keputusan itu mampu membezakan rentak perlawanan tetapi beliau berpandangan PKNS FC ‘sudah biasa’ dengan keadaan itu.

“Ada dua keadaan. JDT punya penalti dari tepi tetapi kita ketika satu lawan satu dengan penjaga gol. Apa yang awak fikir?,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol utama PKNS FC Mohd Haziq mungkin terpaksa direhatkan seketika atas nasihat doktor kerana mengalami gegaran di kepala hingga mengakibatkan beliau dikeluarkan pada babak pertama.

“Diharap dia boleh pulih segera kerana kita akan menentang Melaka. Penting untuk kita bangkit demi memastikan slot beraksi di Piala Malaysia,” katanya.

Bagi Jurulatih JDT, Benjamin Mora memuji kebangkitan anak buahnya untuk menang sekaligus mengukuhkan cengkaman di persada liga.

Beliau menganggap pertemuan menentang PKNS FC bukan satu perlawanan mudah tambahan JDT perlu mempamerkan persembahan terbaik terutama beraksi di laman sendiri.

“Walaupun mereka tidak mempunyai jentera serangan yang baik akibat ketiadaan Patrick Ronaldinho Wleh dan Mohd Safee Mohd Sali tapi mereka memberikan tentangan yang baik dari segi pertahanan.

“Kita terpaksa menggunakan bahagian kiri dan kanan untuk memecahkan benteng pertahanan mereka,” katanya.

Menurutnya, JDT mahu menjarakkan kedudukan di persada liga terutama saingan sengit daripada Pahang dan Kedah.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor

Mohd Ezli Mashut


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next