Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Garis Panduan Trak Bergerak bantu usahawan Selangor

ccsb-ads

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Garis Panduan Trak Bergerak dalam usaha membantu dan menarik minat usahawan terutama golongan muda menyertai program berkenaan di Selangor

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan segala pandangan dan idea daripada kalangan usahawan terbabit serta pihak berkaitan dalam usaha penambahbaikannya.

Katanya, Garis Panduan Trak Bergerak (Makanan, Barangan dan Perkhidmatan) diperkenalkan itu membantu semua usahawan menyertai program yang diadakan di seluruh Selangor.

“Selangor adalah negeri pertama memperkenalkannya dan ia langkah terbaik kita sediakan bagi penyertaan mereka di mana sambutan diterima juga amat membanggakan.

SMART TRAK (2)“Mereka memerlukan satu panduan bagi penyertaan dalam program ini dan kita akan perkenalkan garis panduan ini dalam tempoh kurang dari enam bulan dari sekarang,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Festival Smart Trak Selangor 2017 di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan golongan usahawan akan menjalin hubungan dan kerjasama erat bagi menjayakan program berkenaan.

“Antara garis panduan ini ialah PBT akan membantu mereka bagi mengenal pasti lokasi sesuai serta perkara lain seperti kadar harga berpatutan dan yuran dikenakan,” katanya.

Festival Smart Trak Selangor 2017 di Dataran Kemerdekaan di sini adalah program Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Shah Alam diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu dengan penyertaan ramai usahawan Smart Trak dari pelbagai bidang perniagaan.

-nR-


Pengarang :