EKONOMI

Harga minyak dunia naik

LONDON 5 APRIL: Harga minyak meningkat di pasaran London, selepas jangkaan inventori pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mengatasi berita pengeluaran minyak Libya.

Penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 50 cent kepada AS$53.62 setong pada 1350 GMT. Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate pula naik 35 cent kepada AS$50.59 setong, lapor REUTERS.

Kedua-dua penanda aras minyak dunia itu pulih daripada paras terendah empat bulan minggu lalu, selepas jangkaan OPEC akan mengetatkan bekalan dengan mengurangkan pengeluaran di bawah perjanjian yang dipersetujui pada akhir tahun lalu.

Permintaan turut meningkat menjelang musim panas dalam pasaran utama, termasuk AS yang juga pengguna minyak terbesar di dunia, yang mana penganalisis meramalkan data industri minggu ini akan menunjukkan penurunan dalam inventori minyak.

Minyak mentah AS dijangka menurun kepada AS$49.62 setong kerana gagal menembusi rintangan pada AS$50.95, manakala Brent boleh mencecah AS$52.79 setong, kata penganalisis teknikal pasaran komoditi Reuters, Wang Tao.

=EZY=


Pengarang :