SELANGOR

Jenderam Hilir: Komited pastikan semua pihak dapat untung

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri komited menyelesaikan isu pembesaran Kampung Jenderam Hilir Fasa 2 membabitkan kawasan rayau Orang Asal yang kini dalam usaha dilaksanakan.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri mengadakan rundingan penyelasaran bersama pemaju dan Jabatan Kemajuan Orang Asli daerah, negeri dan Wilayah Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya, masyarakat Orang Asal mendiami baki tanah seluas 45 ekar untuk projek pembesaran kampung itu dicadangkan pemilik tanah untuk menerima sebuah rumah semi-D bagi setiap keluarga berharga sekitar RM400,000 dan wang tunai sebanyak RM50,000 serta pengangkutan untuk urusan pemindahan.

“Bagaimanapun, pentadbir Tanah Sepang berpandangan untuk melaksanakan bancian dilaksanakan terlebih dahulu bagi memuktamadkan bilangan keluarga dan tawaran dikemukakan.

MB DNS MAC 17 (4)“Tuntutan serta tawaran dikemukakan di antara masyarakat Orang Asal dan pemilik tanah perlu bersifat rasional serta menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Yunus menjangkakan permasalahan itu hanya dapat diselesaikan sekiranya kesepakatan dicapai dari semua pihak terutamanya pemilik tanah dan Orang Asal di kawasan itu.

“Status terkini Fasa 2 masih belum dimulakan kerana permasalahan ini, oleh itu Kerajaan Negeri akan mengadakan rundingan bersama kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Kampung Jenderam Hilir merupakan tanah kerajaan rizab Melayu yang dahulunya ditetapkan kawasan kediaman Rancangan Pembesaran.

Ia dibuka untuk permohonan bagi pemberimilikan tanah kerajaan kepada penduduk kampung pada lingkungan tahun 1990 dengan keluasan satu per empat ekar.

Projek pembesaran itu membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan tanah seluas 35 ekar yang perlu dilaksanakan segera merangkumi pembinaan 83 unit rumah dengan keluasa 20×65 untuk diserahkan kepada penduduk.

Manakala fasa kedua membabitkan tanah seluas 45 ekar bergantung kepada rundingan pemaju dan orang asli, baki 117 unit rumah dengan keluasan sama akan dibina dalam fasa ini.

-nR-


Pengarang :