Jumlah dagangan Februari 2017 meningkat cecah RM134 bilion | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Jumlah dagangan Februari 2017 meningkat cecah RM134 bilion

KUALA LUMPUR 5 APRIL: Jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2017, meningkat sebanyak 27.1 peratus, mencecah RM134.83 bilion berbanding bulan sama tahun lalu.

Eksport pada bulan berkenaan meningkat sebanyak 26.5 peratus kepada RM71.77 bilion.

Ia bulan keempat berturut-turut eksport melebihi RM70 bilion sejak November 2016 dan lebih tinggi berbanding purata bulanan RM64 bilion yang direkodkan pada 10 bulan pertama 2016, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika mengumumkan perangkaan perdagangan luar negara, hari ini.


Lebihan dagangan mencecah RM8.71 bilion. Ia bulan ke-232 berturut-turut lebihan dagangan dicatatkan sejak November 1997. Import Februari 2017 meningkat sebanyak 27.7 peratus kepada RM63.06 bilion.

Jumlah dagangan dua bulan pertama 2017 melonjak sebanyak 20.6 peratus kepada RM270.63 bilion, berbanding dengan RM224.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Pada Februari, pengembangan perdagangan dilihat dengan semua rakan dagangan utama iaitu ASEAN, China, India, Jepun, Taiwan, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), kata kementerian itu.

“Pada Februari 2017, pertumbuhan dua digit dalam eksport telah dicatatkan bagi kesemua sektor utama, iaitu barangan perkilangan, hasil galian serta keluaran pertanian,” kata MITI.

Katanya, eksport barangan perkilangan meningkat 24.3 peratus kepada RM57.45 bilion berbanding Februari 2016, merangkumi 80 peratus bahagian daripada jumlah eksport Malaysia.

“Eksport hasil galian meningkat sebanyak 21.6 peratus kepada RM6.83 bilion, manakala eksport keluaran pertanian naik sebanyak 50.7 peratus kepada RM6.78 bilion, disokong terutama oleh pertumbuhan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” kata kementerian itu.
SUMBER: BERNAMA

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next