PENDIDIKAN SELANGOR

Kerjasama HIJRAH, UNISEL lahir usahawan IPT

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 APR: Universiti Selangor (UNISEL) menggalakkan penglibatan mahasiswanya menjana pendapatan melalui penglibatan program keusahawanan di institut pendidikan milik Kerajaan Negeri itu.

Galakan itu diperkukuh menerusi program kerjasama UNISEL bersama Program Mikrokredit Bersepadu, HIJRAH sebagai insiatif menerokai peluang keusahawanan setempat.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, peluang tersebut diyakini mampu menjana perkembangan positif membabitkan golongan mahasiswa UNISEL.

“Kerjasama ini bagi menyokong sebarang usaha di peringkat mahasiswa UNISEL untuk memupuk budaya keusahawanan serta daya saing yang tinggi dalam kalangan mahasiswa.

“Ia juga sebagai inisiatif dan galakan kepada mereka untuk memulakan perniagaan di peringkat universiti,” katanya dalam kenyataan.

Simbolik kerjasama itu dibuat menerusi penyerahan 10 buah khemah oleh Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman pada majlis yang diadakan di Kampus UNISEL Shah Alam, 29 Mac lalu.

UNISEL HIJRAHHadir sama, Ketua Pengurus HIJRAH Selangor, Roslim Md Akhir dan Naib Canselor UNISEL, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman.

Dalam perkembangan lain, UNISEL turut menganjurkan “Kempen Siswa UNISEL, Siswa Beretika” anjuran Unit Disiplin Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti (HEP).

Hasril berkata, pelaksanaan kempen itu dilaksanakan bagi memperkukuhkan jati diri mahasiswa UNISEL bagi mengharungi cabaran semasa.

Timbalan Naib Canselor, Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin menyempurnakan Majlis Watikah Perlantikan Rakan HEP.

=EZY=


Pengarang :