BERITA UTAMA SUKANKINI

Liga Super: PKNS FC ikat Melaka United 2 – 2

OLEH HAFIZAN TAIB

MELAKA, 27 APR: PKNS FC gagal meraih mata penuh apabila sekadar seri 2-2 menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.

Bertandang ke tempat lawan, skuad kendalian E Elavarasan menghadapi cabaran hebat pasukan tuan rumah yang turut berazam memenangi perlawanan.

Semua gol dijaringkan dalam separuh masa pertama dengan Melaka United memulakannya menerusi penyerang import, Ilija Spasojevic, pada minit ke-32.

PKNS VS MELAKA (6)Gol menerusi sepakan penalti dihasilkan Ilija apabila beliau dijatuhkan Nizam Abu Bakar.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan seketika dengan Patrick Ronaldinho Wleh bertindak menjaring gol penyamaan tiga minit selepas itu.

Patrick mendapat peluang bila menewaskan penjaga gol lawan, Fazli Paat, menerusi bola muntah selepas percubaan Khairul Ramadhan dinafikan.

Safee Sali mengambil giliran sebagai penjaring pada minit ke 40 dengan hantaran bola tepat Patrick kepadanya membuatkan The Red Ants mendahului lawan sementara waktu.

PKNS VS MELAKA (3)Ilija bertindak selaku penyelamat untuk pasukan tuan rumah dengan jaringan keduanya tiga minit sebelum separuh pertama tamat dengan satu tandukan tepat melepasi Zamir Selamat.

Bermula babak kedua, skuad bimbingan Eric Williams menggandakan asakan bagi menceriakan penyokong tuan rumah, namun PKNS FC terus menghalang segala percubaan.

Beberapa percubaan lawan diketuai Amri Yahya mendatangkan bahaya, namun tetap gagal menghasilkan gol kemenangan.

Begitu juga PKNS FC yang juga dihampakan pasukan lawan yang kental bertahan di kubu mereka.

Keputusan dua gol sama kekal hingga ke akhir menyaksikan PKNS FC terus di tangga kesembilan dengan 10 mata dan Melaka United di bawahnya juga mata sama.

-NFN-


Pengarang :