Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB adakan lawatan kerja di tiga negara

SHAH ALAM, 29 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan lawatan kerja ke Maghribi, Jordan dan Mesir, pada 1 hingga 5 Mei ini bagi menyantuni pelajar Selangor yang menuntut di sana.

Pertemuan itu akan menyaksikan penyerahan bantuan Kerajaan Negeri kepada pelajar Selangor di tiga negara terbabit selain mengadakan sesi dialog bersama mereka.

Mohamed Azmin turut dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil Kedutaan Besar Malaysia Rabat juga Amman serta Duta Besar Malaysia ke Maghribi dan Jordan.

Lawatan kerja itu turut disertai Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi serta pimpinan Kerajaan Negeri.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai biasiswa bagi menampung pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Tindakan itu bagi menjunjung titah DYMM Sultan Selangor yang menekankan umat Islam perlu berpegang kepada ajaran Ahli Sunah Waljamaah.


Pengarang :