Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tidak berpijak di bumi nyata

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa kos sara hidup di Malaysia paling rendah dalam kalangan negara Asean tidak membawa makna apabila rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barangan serta pemansuhan pelbagai subsidi.

Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, masyarakat bijak membezakan keperitan menanggung kos sara hidup berbanding zaman sebelumnya, walaupun ia digula-gulakan dengan pengiktirafan kaji selidik antarabangsa.

Katanya, pengiktirafan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan dengan 133 bandar raya di seluruh dunia langsung tidak menggambarkan realiti kehidupan.

“Kenyataan Najib kononnya untuk merangka pelbagai program memacu pendapatan dan mengurangkan harga barangan hanya retorik yang diulang.

“Apa yang kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) lakukan sepanjang pentadbirannya kerana pendapatan rakyat tidak meningkat dan apakah usaha kerajaan Najib mengurangkan harga barangan?” katanya dalam kenyataan.

Syed Ibrahim berkata, ketika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Najib terus gagal menyelesaikan beban rakyat, skandal kewangan terutama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membangkitkan kemarahan ramai, manakala lambakan rasuah terus berleluasa.

Beliau berkata, Najib yang ingin menjadikan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi juga nyata tidak berpijak di bumi nyata, malahan ia sangat bertentangan dengan realiti kehidupan semasa ekonomi rakyat.

Syed-Ibrahim-Syed-Noh“Pengiktirafan itu bertentangan dengan dapatan Jabatan Statistik yang dikeluarkan pada 19 April lalu dan menyaksikan pelbagai indeks komponen mengalami paras kenaikan harga hampir 30 peratus.

“Komponen pengangkutan merekod kenaikan tertinggi sebanyak 23 peratus, diikuti komponen makanan dan minuman bukan alkohol (4.1 peratus) manakala komponen perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api naik (2.1 peratus).

“(Lebih parah) petunjuk inflasi keseluruhan meningkat 5.1 peratus, manakala inflasi teras yang tidak mengambil kira harga makanan dan bahan api yang kerap berubah, pada paras 2.5 peratus,” katanya.

Terdahulu, Najib berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara Asean mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia adalah hasil daripada pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.


Pengarang :