Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

PBT, JKR digesa bantu Air Selangor atasi NRW

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor bagi melancarkan gerak kerja penggantian paip lama membabitkan 422 kilometer (KM) di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerja penggantian paip lama itu kini giat dijalankan bagi mengatasi kebocoran sumber penyumbang kadar air tidak berhasil (NRW) .

“Kerja penggantian berjalan lancar dan kita bersedia melaksanakan tugas ini secara berterusan sehingga sasaran kita tercapai sehingga 2019,” katanya di Majlis Pelancaran Aset dan Inovasi Kenderaan di Pejabat Air Selangor daerah Gombak, di sini.

MB AIR SELPada masa sama, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri menyasarkan pengurangan NRW ke tahap 29 peratus daripada jumlah 32 peratus ketika ini menjelang 2019.

Katanya, Air Selangor menubuhkan pasukan khas membabitkan 150 kakitangan sepenuh masa bagi mengesan kebocoran dan dibaik pulih dengan segera.

“Ia sebagai usaha berterusan Air Selangor dalam merealisasikan pengurangan NRW secara holistik dan kawalan kualiti kerja terbaik,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan perkhidmatan industri air kepada rakyat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan bagi kerja pengantian paip, pembinaan dua loji rawatan dan projek mitigasi ekoran keupayaan ekonomi Kerajaan Negeri yang utuh.

Terdahulu, sebanyak 84 kawasan hotspot dikenalpasti di seluruh negeri membabitkan sepanjang 422 kilometer dinaiktaraf menjelang 2019, dengan peruntukan RM350 juta keseluruhannya.

Pada 2011, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) gagal mengurangkan kadar NRW kurang daripada 30 peratus sekaligus menjangkakan NRW meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020.

MB AIR SEL 1MB AIR SEL 2 MB AIR SEL 3
-nR-


Pengarang :