Selangorkini
NASIONAL

Perpecahan runtuhkan harapan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SEBERANG JAYA, 29 APRIL: Jentera KEADILAN diingatkan supaya tidak berpecah kerana rakyat kini memberi harapan untuk melihat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab meyakinkan rakyat kerana mereka akan bertindak selaku pengundi bagi mengemudi pentadbiran negara.

“Kita mahu memberikan harapan. Harapan apa yang ada jika kita berpecah?

“Jangan bercakaran terutama dalam parti sendiri. Kita tidak boleh menunjukkan percakaran kerana ia tidak akan memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen KEADILAN Pulau Pinang 2017 di SP Arena, Seberang Jaya.

Katanya, ramai pemimpin sebelum ini berkorban menerusi perjuangan parti termasuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terpaksa mengharungi hukuman penjara demi rakyat.

Wan Azizah berkata, pimpinan parti juga perlu peka dengan masalah rakyat dan melipat gandakan usaha demi mencapai kemenangan.

“Kita akan menghadapi pelbagai ujian dan untuk mengatasinya adalah menerusi kemenangan,” katanya.


Pengarang :