Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

Pesta Buku Selangor 2017 kesinambungan FESBUK

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Kehadiran hampir tiga juta pengunjung sejak Pesta Buku Selangor dianjurkan selama 12 edisi membuktikan industri buku dan penulisan masih mendapat sokongan ramai, bahkan ia akan diteruskan, pada masa hadapan.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penganjuran itu akan memberikan kesan positif kepada industri buku untuk jangka masa panjang.

“Kami melihat penganjuran ini bermatlamat untuk mengaktifkan industri penerbitan buku dan penulisan karya baru serta penyelidikan.

Nik Nazmi“Ia juga bagi merealisasikan usaha Kerajaan Negeri bagi melahirkan lebih ramai golongan ilmuan dan intelek serta menyediakan suatu landasan yang dilaksanakan secara besar-besaran sebagai usaha pembudayaan ilmu serta membaca kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Katanya, pesta buku itu kesinambungan Program Festival Buku dan Kanak-Kanak (FESBUK) yang dilaksanakan di SACC Mall, pada 3 hingga 5 Februari lalu.

“Sebagai makluman FESBUK dilaksanakan tiga tahun berturut dengan sambutan yang semakin meningkat walaupun hanya berlangsung selama tiga hari sahaja.

“Jumlah pengunjung yang direkodkan pada 2015 adalah 19,996 dan 30,000 (2016) sementara peningkatan 32,315 bagi tahun ini,” katanya.

-NFN-


Pengarang :