BERITA UTAMA PBT

Prestasi cemerlang jadi inspirasi tingkat kualiti perkhidmatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 APR: Pencapaian cemerlang dicatat dalam perkhidmatan hingga memperoleh kejayaan diharap terus menjadi inspirasi kepada warga kerja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk meningkatkan kualiti kerja seterusnya berkhidmat kepada masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, pengiktirafan diberikan kerana komitmen serta pengorbanan warga kerja MBSA yang diberi perhatian pengurusan tertinggi selain mampu menjadi pendorong kecemerlangan berterusan, di samping inspirasi kepada rakan lain memperoleh kejayaan sama, pada tahun akan datang.

“Warga kerja berkaitan adalah individu yang melaksanakan tugas tanpa perlu diarah atau dipantau kerana berdisiplin tinggi. Mereka mengambil inisiatif melalui idea kreatif dan inovatif serta melakukan apa juga tugas.

MBSA ANUGERAH CEMERLANG (2)“Selain itu, warga kerja yang hebat juga sentiasa berfikir apa boleh disumbangkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan organisasi tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada pihak pengurusan,” katanya dalam majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MBSA 2016 di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mohd Amin menyampaikan anugerah kepada 129 kakitangan MBSA yang terpilih.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir; Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Shukri Mohamad Hamin.

Mohd Amin berkata, Shah Alam adalah bandar raya paling terancang pembangunannya di Selangor, malahan mungkin di Malaysia ekoran kesesakan lalu lintasnya masih terkawal berbanding Kuala Limpur atau Petaling Jaya.

MBSA ANUGERAH CEMERLANG (1)Katanya, ia kerana perancangan pembangunan teliti dilaksanakan MBSA dalam meluluskan sebarang pemohonan kebenaran merancang yang membuatkan setiap kemajuan dapat dilakukan dengan strategik.

“Difahamkan, kutipan hasil MBSA pada tahun lalu ialah RM390 juta iaitu kutipan tertinggi dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Kutipan hasil yang tinggi memungkinkan MBSA merancang dan melaksanakan kerja seperti penambahbaikan, menaiktaraf serta memberikan perkhidmatan berkulaiti kepada masyarakat, malahan boleh dikatakan MBSA peneraju kepada pembangunan bandar raya moden juga bestari.

Dengan pencapaian cemerlang diraih, beliau menaruh keyakinan MBSA mampu menyahut cabaran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bagi menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya bijak (Smart City) yang boleh menjadi penanda aras kepada PBT lain sama ada di Selangor atau negeri lain.

-NFN-


Pengarang :