EKONOMI

Ringgit ditutup rendah 4.4230/4280 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 1 APR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, seiring prestasi kebanyakan mata wang serantau selepas permintaan beralih pada dolar, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan pada 4.4230/4280 berbanding dolar AS daripada 4.4190/4220 pada Khamis, lapor BERNAMA.

Peniaga berkata, ringgit berkemungkinan mengalami tekanan oleh sentimen pelabur beralih kepada pelaburan lebih berisiko.

“Dolar AS mengukuh berbanding mata wang utama lain, didorong risiko pelabur beralih kepada pelaburan berisiko di Eropah dan data ekonomi AS yang kukuh,” katanya.

Berbanding mata wang utama, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya tinggi kecuali pound.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1640/1685 daripada 3.1677/1703 pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.7198/7260 daripada 4.7442/7488 dan menokok berbanding yen kepada 3.9502/9550 daripada 3.9732/9763.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.5009/5080 daripada 5.4959/5014 pada Khamis.

=EZY=


Pengarang :