BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

RM173 juta bangunkan 30,000 usahawan HIJRAH Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 APRIL : Tahun kedua diperkenalkan kepada rakyat seluruh negeri, sistem mikrokredit Prorgam Hijrah Selangor (HIJRAH) menyediakan bantuan sebanyak RM173 juta sepanjang tempoh skim itu diwujudkan di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, seramai 30,000 usahawan menerima manfaat daripada perlaksanaan bantuan keusahawanan di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Selepas Dato’ Menteri Besar mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dan memperkenalkan HIJRAH, kita telah berjaya membiayai lebih daripada 30,000 orang peminjam dengan nilai bantuan sebanyak RM173 juta.

“Perkara ini tidak mungkin tercapai sekiranya warga HIJRAH tidak memberikan komitmen tinggi yang cukup untuk melaksanakan amanat Kerajaan Negeri bagi mengupayakan ekonomi usahawan di negeri ini,” katanya.

Susulan kejayaan itu katanya, beliau optimis lebih ramai usahawan dapat dibantu di bawah skim itu selepas mengambil kira keprihatinan Kerajaan Negeri untuk meneruskan inisiatif itu.

“Sebagai negeri yang terkaya dengann lebihan wang yang besar dan pelaburan meningkat, hasil kekayaan inilah dipulangkan balik kepada rakyat Selangor menerusi skim HIJRAH di bawah inisiatif peduli rakyat.

“Kalau nak ‘jual’ (perkenalkan) Selangor kepada rakyat luar, konsep peduli rakyat inilah yang wajar diketengahkan kerana Kerajaan Negeri konsisten bantu rakyat bermula dari rakyat Selangor yang baru lahir sehinggalah mati.

“Sebab itulah program ini dilaksanakan untuk terus memperkasakan ruang ekonomi rakyat Selangor tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Yayasan Hijrah di Dewan Orkid Wisma PKPS di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari dan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Majlis Makan Malam Yayayasan Hijrah diadakan bagi meraikan warga kerja HIJRAH yang kekal konsisten membantu keperluan pembangunan ekonomi keusahawanan rakyat Selangor.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melancarkan program HIJRAH bagi membantu golongan peniaga kecil dan sederhana diupayakan dalam bidang perniagaan.

Program ini menyasarkan kumpulan sasaran antaranya ibu tunggal orang kelainan upaya (OKU), graduan lepasan universiti yang dibantu menerusi skim mikrokredit untuk meningkatkan jurang ekonomi pendapatan dengan aktiviti perniagaan.

=EZY=


Pengarang :