Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Segera bertindak, elak banjir kilat berulang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 APRIL: Pihak berkenaan diseru mengambil tindakan segera dan menepati prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan kerja pelebaran jalan bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang di Kampung Harmoni, Ijok.

Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad berkata, selain penduduk, seruan sama turut ditekan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kejuruteraan.

“Kerja pengorekan parit perlu disegerakan, begitu juga pelebaran parit selepas apa yang berlaku baru-baru ini apabila parit dikecilkan gagal menampung air dari daerah Gombak.

“Jika tiada solusi dan tindakan segera, kita bimbang kejadian sama akan berulang kembali dan menyusahkan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 18 April lalu, seramai 16 keluarga terjejas dan mengalami kerosakan harta benda selepas rumah dinaiki air.

Bukan sekadar kediaman, penduduk turut mengalami kerugian apabila kebun sawit digenangi air lebih seminggu.

Penduduk mendakwa, kejadian banjir berkenaan merupakan musibah terburuk dalam tempoh 50 tahun.

Terkini, media melaporkan pihak berwajib menyediakan 500 beg pasir bagi menampung ban pecah sejauh dua kilometer sebagai tindakan penyelesaian segera.


Pengarang :