Selangorkini
SELANGOR

Segera selesai pindah hak milik strata

ccsb-ads

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 28 APR: Pihak pengurusan kediaman bertingkat di Pinggiran Batu Caves yang belum melengkapkan syarat untuk membolehkan proses pindah hak milik strata disarankan segera berbuat demikian.

Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, kegagalan melakukan perkara itu akan melambatkan pemilik unit terlibat mendapat hak milik strata unit masing-masing.

“Kita sudah buat beberapa program untuk penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan memeterai perjanjian antara tuan tanah (Pemerbadanan Menteri Besar) dengan syarikat guaman bagi bayaran Memorandum Of Transfer (MOT) pemilik Pinggiran Batu Caves.

“Bagaimanapun, saya berharap blok yang belum selesai itu memberi kerjasama untuk diselesaikan,” katanya ketika Majlis Penyerahan Sumbangan MOT di Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Gombak, di sini, semalam.

Terdahulu, sebanyak 1,642 pemilik Pangsapuri Pinggiran Batu Caves bakal mendapat hak milik strata unit masing-masing apabila termeterainya perjanjian antara MBI dengan pihak guaman yang terlibat dengan urusan pindah hak milik itu.

Dalam perjanjian itu, Kerajaan Negeri melalui MBI akan membiayai kos guaman dan juru ukur bernilai RM2.6 juta yang lazimnya perlu dibayar penduduk.


Pengarang :