Sekolah Rohingya: Respon dan tindakan pantas Kerajaan Selangor dipuji | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Sekolah Rohingya: Respon dan tindakan pantas Kerajaan Selangor dipuji

OLEH: DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang bertindak pantas terhadap isu perobohan Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS) yang dibangkitkan oleh kami semalam.

Serantau Muslim menyambut baik tindakan pantas Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberi respon positif terhadap sidang media yang kami lakukan semalam apabila bertindak menarik balik notis meroboh KGLCS yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Petaling.


Serantau Muslim memuji Dato’ Menteri Besar Selangor apabila kelihatan cakna mengenai hal kebajikan pendidikan Rohingya melalui kenyataannya bahawa kerajaan Negeri Selangor sedang mencari dan mengenalpasti premis baharu yang bersesuaian bagi menggantikan sekolah yang sedia ada.

Tindakan Kerajaan Negeri ini selari dengan hasrat dan harapan kami serta pentadbir dan pelajar-pelajar sekolah tersebut yang terdiri daripada anak-anak yatim dan pelarian Rohingya.

Tindakan seperti ini sangat wajar dan dipuji kerana memberikan solusi jalan penyelesaian dengan kadar yang segera, sesuai dengan status dan peranan kerajaan negeri.

Bagi kami, polemik yang berlaku ini dapat diatasi sekiranya pihak berkuasa bertindak dan menguruskan masalah ini dengan lebih profesional. Pihak berkuasa tidak sewajarnya merobohkan bangunan sekolah tersebut selagi bangunan baru belum dikenalpasti dan disiapkan.

Pentadbir Tanah juga tidak mengeluarkan notis hitam putih tentang alternatif yang akan dibuat oleh kerajaan sebaliknya pihak pentadbir tanah terus bertindak ke atas sekolah itu itu. Ini menyebabkan pentadbir, guru-guru dan murid-murid merasa gusar dan risau akan status sekolah tersebut.

Serantau Muslim juga ingin mengambil peluang ini untuk menegaskan walaupun sudah ada kenyataan balas daripada pihak Menteri Besar, jawapan rasmi secara bertulis dari kerajaan negeri amat diperlukan untuk mengelakkan sebarang manipulasi dan polemik di masa akan datang.

Kami berpendapat, selagi mana tidak ada bukti bertulis dari pihak berkuasa, selagi itulah nasib pentadbir, guru-guru dan murid-murid Rohingya itu kekal seperti gantung tidak bertali dan hati mereka akan terus dirundung rasa gusar dan risau akan status sekolah tersebut.

Sejak dari awal, tujuan kami membawa isu ini hanya satu iaitu bagi memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak Rohingya ini terjamin dan usaha untuk membantu golongan ini dapat terus dilakukan.

Serantau Muslim sejak awal penubuhannya lagi memang menumpukan perhatian dan usaha membela kebajikan kaum etnik Rohingya ini sama ada yang berada di negara ini atau yang masih berada di Myanmar sana.

Justeru, kami sekali lagi mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap isu ini. Moga peristiwa seperti ini tidak berulang lagi dan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Semoga tindakan berkebajikan membela nasib anak anak Rohingya ini memberi sinar harapan kepada mereka untuk membela nasib etnik mereka sendiri di masa hadapan.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

* DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB adalah Pengerusi Serantau Muslim

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next