Teater Modular: Antara berahi dan bijaksana | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

Teater Modular: Antara berahi dan bijaksana

OLEH HAIZIR OTHMAN

TIMBUL polemik sebaik sahaja tamat pementasan Teater Modular yang mungkin timbul akibat ketidakpastian; adakah ia mendidik atau tidak? Juga satu lagi sudut pandang lain bertanya, “Adakah wanita dijadikan objek seks dalam set empat playlet teater itu?” Selainnya, kebanyakan penonton gembira dengan pementasan lebih kurang satu jam itu. Respon puji-pujian melatari perbincangan santai yang menjadi acara terakhir sebelum pulang.

Teater Modular tulisan Ridhwan Saidi adalah gabungan empat playlet teater iaitu Melihat Setan Bekerja arahan Fahmi Harun, Panik di Pusat Undi (Sak Don), Brokoli (Walid Ali) dan Malam Pertama (Qiu Qatina). Sejak mula dipentaskan pertama kali pada 15 Mac 2017 di Studio Revolution Stage, ia mendapat ulasan positif dalam media sosial, mendorong kehadiran lebih ramai penonton sehingga pementasan terakhir 20 Mac lalu.


Paling tertarik ialah Melihat Setan Bekerja. Menggunakan hanya seorang pelakon untuk dua watak – Lelaki dan Setan, pertukaran watak yang lancar, pertuturan dialog dengan lontaran suara jelas seraya membezakan antara kedua-dua watak, pengungkapan falsafah dalam skrip, penghayatan yang tidak dibuat-buat, aksi lakonan dan mimik muka cemerlang; pujian harus diberi kepada pelakon tunggalnya, Amirul Syakir. Beliau berjaya menterjemah kekuatan skrip kepada penonton – antaranya menimbulkan persoalan, “Benarkah setan itu benar-benar jahat?”

modularKata seorang rakan yang menekuni falsafah, konsep evil atau kesyaitanan dalam konteks dunia intelektual dan kesusasteraan Barat, tidak pernah ada jawapan pasti. Ditinjau sejarah dan kebudayaan Barat, mengangkat nilai kejahatan sebagai suatu yang baik berlaku sejak ribuan tahun lalu.

Umpamanya, kisah Prometheus melawan Zeus (tuhan) demi kesejahteraan umat manusia dengan cara mencuri api dari Gunung Olympus. Kecelaruan Barat dalam hal ini turut terakam dalam Faust karya Goethe yang mengangkat watak Mephisto (iblis), apabila Faust menjual jiwanya kepada Mephisto. Hanya dalam Faust 2 yang ditulis 26 tahun berikutnya, Goethe kemudian menolak nilai-nilai Mephistopheles.

Dalam al-Quran, pemisahan antara baik dan jahat itu jelas. Nabi Ibrahim a.s berpesan kepada ayahnya agar jangan menyembah syaitan kerana syaitan itu ingkar kepada Tuhan (Maryam: 44). Juga sabda Tuhan yang menyatakan “syaitan itu musuh kamu yang nyata” (Al-Isra’: 53).

Pertanyaan-pertanyaan yang diaju dalam teater ini walau jawapannya sudah diketahui, masih boleh diterima bagi mengingatkan kita yang selalu terlupa. Malah, melalui jalan pertanyaan begini, kefahaman kita boleh dicabar dan jadi lebih kuat, seperti cara kita ditanya dengan soalan peperiksaan. Jika mesej ini dapat diekstrak keluar dari naskhah ini oleh penontonnya, maka persoalan, “adakah teater ini mendidik atau tidak?” tidak timbul.

Playlet kedua, Panik Di Pusat Undi lebih ringan. Tajuknya sudah membayangkan akan topik politik dan demokrasi yang dibawanya. Ya, ada ‘menyiku dan lutut’ terhadap resam berpolitik di negara kita, antaranya sifat perkauman berpilih terhadap kaum Cina, pemerasan tenaga ketua politik terhadap anak buah dan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Adegan menarik apabila tiada seorangpun pengundi muncul di pusat pengundian, baik pengundi hantu atau bukan. Situasi ini meresahkan dua “ejen” atau “broker” undi yang mengharapkan kehadiran ramai pengundi bagi menggembirakan Datuk mereka yang bercuti di Hawaii. Akhirnya, datang seorang pengundi tapi sejurus menanda di kertas, dia tumbang dan mati akibat sakit jantung.

Berbanding playlet lain, playlet bertema politik paling meriah dengan gelak-tawa penonton dari awal hingga akhir. Barangkali, inilah tema yang sentiasa kelakar dalam realiti hidup seharian dan tidak pernah gagal untuk membuat kita ketawa, meski diulang-ulang dalam tempoh singkat. Wujud juga situasi yang sebenarnya tidak kelakar tapi kita tetap terbahak-bahak kerana yang kita ketawakan bukanlah situasi itu, sebaliknya kebodohan dan nasib malang kita sendiri. Politik adalah komedi sekaligus tragedi.

Brokoli adalah skrip dalam salah satu bab novel Amerika karya Ridhwan Saidi. Agaknya “panas” dan kontroversi sekitar Teater Modular bermula dari sini. Bagi yang pernah membaca Amerika dan novel lain Ridhwan, skrip ini sebenarnya dapat dijangka tetapi bagi yang baru mengikuti, ia agak memeranjatkan. Seorang guru agama yang bertukar kerjaya menjadi seorang pelakon porno bukanlah cerita yang kita dengar setiap hari. Tetapi hakikatnya, hal yang lebih teruk daripada itu barangkali telahpun terjadi di sekitar kita; ustaz kirim gambar lucah kepada teman wanita lewat laman sosial, gangguan seksual di sekolah agama atau lebih teruk, memperalat agama dari segi pengaruh dan kedudukan untuk penyelewengan dan korupsi. Yang menarik dalam Brokoli adalah penutupnya apabila Sofia, si pelakon filem porno menolak ajakan Din untuk berasmara di luar set penggambaran dengan alasan “haram”. Ironis ini seperti mengejek kenyataan seorang ustazah popular satu ketika dulu dalam polemik adakah boleh menjual diri demi memberi makan kepada anak-anak?

INFO HADIAH SASTERAMalam Pertama adalah playlet terakhir dan barang kali terpanas. Malah, berlaku polemik di facebook antara Zikri Rahman dengan Ridhwan sekitar adegan berahi yang melatari teater ini – adakah ia liberal atau tidak, moral atau tidak, bla bla bla. Kata seorang rakan, tidak perlu sampai buka baju untuk membawa adegan berahi. Dengan sedikit kreativiti, adegan berahi boleh dilakon walau lengkap berpakaian. Contohnya, adegan P. Ramlee dan Zaiton dalam Semerah Padi. Juga garapan berseni U-Wei Shaari dalam Buai Laju-laju dan Perempuan, Isteri dan…

Namun sebenarnya, teater ini ingin membawa isu komunikasi yang terganggu antara sepasang suami-isteri akibat tidak bertutur dalam bahasa yang sama. Tindakan melantik penterjemah untuk mengatasi halangan komunikasi antara mereka berdua hanya menimbulkan kejanggalan apabila terjemahan diperlukan dalam semua perkara sehinggalah ke ranjang. Janggal dan absurd adalah mesej yang ingin dipapar tapi sayangnya, adegan berahi juga diingati orang.

Menonton Teater Modular, malah menonton (atau membaca) apapun, memerlukan kebijaksanaan kerana akhirnya di tangan penontonlah naskhah itu dinilai. Beri skrip apapun, penonton yang bijaksana akan memilih intan dari kaca – mengambil yang baik dan meninggalkan yang buruk. Tugas si penulis dan pengarah berakhir sebaik pementasan selesai. Tetapi tugas penonton baru sahaja bermula – berfikir dan menilai dari kaca mata ilmu dan iman. Tanpa prejudis.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Seterusnya

Fana

BERITA BERKAITAN

Prev
Next