Tetuang Udara | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

Tetuang Udara

OLEH HANIFF YUSOFF

SAYA terasa seolah-olah memasuki zon kesunyian biarpun sebenarnya saya kini telah menetap di kota raya setelah menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta ternama. Semua sedia maklum bahawa di kota raya ini, berpusu-pusu manusia mencari rezeki. Kesesakan lalu lintas tidak perlu dirungkai cerita lagi kerana sehingga detik kita mengejar mimpi, bunyi hon dan enjin kenderaan ikut sama berkejaran. Walaupun begitu, yang saya rasakan hanyalah kesunyian di kota raya ini sejak pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

Sahabat-sahabat sepejabat mencadangkan saya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kata mereka, saya pasti teruja ke sana melihat pelbagai ragam manusia menjual dan membeli-belah terutama ketika menghampiri musim perayaan. Kata mereka lagi, saya tidak akan berasa kesunyiaan jika berada di sana kerana suasana di sana sememangnya riuh-rendah.


Suatu pagi pada hari minggu, saya bangun awal seperti biasa. Sememangnya sejak dari kecil lagi saya sudah membiasakan diri untuk bangun awal pagi. Pagi itu saya berencana untuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dikhabarkan hingar suasananya agar saya tidak merasakan kota raya ini adalah dimensi kesunyian yang tidak terlihatkan. Mungkin saya seorang sahaja yang merasakannya sebegitu. Entah, saya pun tidak pasti dengan rasa-rasa yang saya alami.

jalan tarPerjalanan pagi itu tidak mengambil masa yang terlalu lama memandangkan saya menggunakan kemudahan awam yang disediakan iaitu LRT. Mata saya meliar melihat pemandangan kota raya dengan wajah yang tidak berperasaan. Belum ada sesuatu yang menggugah rasa melalui pandangan melainkan yang kelihatan hanya bangunan konkrit di setiap fragmen cermin LRT.

Saya seperti susuk asing yang tiba di negara orang apabila setiap langkah saya ditemukan dengan warga asing. Bahasa-bahasa yang pelbagai bertembung tanpa salam dan ada ketikanya begitu merimaskan pendengaran. Beginikah keriuhan yang dimaksudkan oleh sahabat-sahabat sepejabat saya? Sukar untuk saya percaya. Saya menyelinap memasuki setiap lorong yang ada untuk mengubati rasa kesunyian yang saya rasai. Namun, saya harus jujur – saya masih terasa kesunyian yang amat.

Saya memilih untuk memasuki sebuah restoran makanan segera. Sambil menikmati hidangan yang dipesan, saya berfikir-fikir sendiri. Mungkin sudah ditakdirkan ruang lingkup kehidupan saya ialah kesunyian dan hanya saya seorang yang mengalaminya. Saya mengerling setiap sudut dalam restoran makanan segera itu. Saya melihat ramai anak muda bergelak ketawa bersama pasangan dan kawan masing-masing. Saya merasakan ada kubikel lut sinar yang memisahkan dimensi antara kami. Seketika akal saya bersuara ketika saya sudah menghabiskan sebiji burger. Mungkin seluruh hidup saya tidak dapat menerima sosiobudaya di sebuah bandar yang besar seperti di kota raya.

Saya meneruskan langkah, melalui celah-celah kehidupan manusia dan lorong yang ada. Ternyata, orang semakin ramai dan peluhpun kian berlumba keluar dari rongga badan. Langkah saya terhenti apabila ada graviti yang begitu kuat menarik perasaan saya ketika itu. Saya begitu tertarik pada sesuatu yang dijual oleh seorang lelaki yang lebih kurang separuh abad usianya.

Jalan TAR1“Anak…anak berminat untuk membeli tetuang udara ini?”

“Tetuang udara? Memang benda ini dipanggil tetuang udara?

“Ya. Namanya tetuang udara. Anak muda zaman sekarang manalah tahu. Asyik serap bahasa asing sahaja.”

Jantung saya berhenti berdegup sesaat setelah mendengar kata-katanya.

“Saya ada masalah, Pak Cik. Saya rasa sunyi sejak berhijrah ke kota raya walaupun saya berada dalam keadaan yang bising. Saya seolah-olah tidak berperasaan. Tetuang udara ini mampu ke mengatasi masalah kesunyian yang saya alami?”

“Kalau sunyi, dengarlah tetuang udara ini. Pilihan anak tepat sekali jika memilikinya. Anak tidak akan menyesal dengan keputusan untuk membelinya. Percayalah.”

“Masih berfungsi ke Pak Cik?”

“Masih elok, sebab itu Pak Cik jual. Anak bantulah Pak Cik dengan membelinya. Dengan izin Tuhan, Tuhan akan permudahkan urusan dan menghilangkan kekusutan yang bersarang dalam kepala anak.”

Saya membelinya tanpa sangsi. Saya begitu percaya pada kata-kata akhir si penjual. Mudah-mudahan kata-katanya itu menjadi doa yang dimakbulkan Tuhan.

***
tetuang udaraSaya perhati lama-lama tetuang udara yang dibeli kerana begitu kagum akan reka bentuknya yang unik. Maklumlah, barang antik. Saya hidupkannya dengan dimulakan dengan lafaz basmallah. Mudah-mudahan tetuang udara yang dibeli berfungsi dengan baik dan dapat menghilangkan rasa kesunyian yang terlampau yang saya alami.

Lagu-lagu irama Melayu klasik bertebaran di setiap sudut ruang tamu. Susunan muziknya benar-benar menenteramkan kalbu. Liriknya indah belaka. Saya seolah-olah berada pada tahun 60-an, menikmati karya-karya Melayu yang belum dicemari keasingan terlampau. Keasyikkan saya mendengar lagu-lagu Melayu klasik menyebabkan saya semakin menjauh akan masalah kesunyian yang saya alami. Saya terasa jiwa saya dibuai-buai, bibir dan lidah saya terikut-ikut akan senikata lagu yang didendang.

Saya mendekatkan telinga saya pada tetuang udara kerana begitu asyik mendengar irama yang berkumandang. Entah bagaimana, tiba-tiba saya terasa diri saya disedut ke dalam tetuang udara. Saya mengecil dan menggelongsor dengan keadaan jantung berdegup begitu laju. Saya terhumban di tengah-tengah sebuah pentas.

Seorang wanita sedang mengalun sebuah lagu. Suaranya merdu klasik. Melodinya indah bercitra Melayu. Seni katanya pula puitis tanpa diskriminasi terhadap bahasa Melayu. Ketika itu saya begitu yakin Tuhan telah mentakdirkan saya menikmati kehidupan di dalam tetuang udara. Saya tidak mahu ke dunia asal dan mahu menetap di dalam tetuang udara selamanya. Tiada lagi kesunyian aneh yang menghantui.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next