Selangorkini
NASIONAL

TV3, tiada maaf bagimu…

SHAH ALAM, 25 APRIL: Pelari pecut negara, Watson Nyambek menolak permohonan maaf dari sebuah syarikat televisyen swasta yang menerbitkan rancangan menghina mendiang bapanya.

Bercakap kepada media, beliau berkata, pihaknya belum bersedia menerima permohonan maaf itu walaupun sudah bertemu wakil syarikat terbabit.

“Saya susah menerima permohonan maaf itu kerana mereka menghina dan menyamakan bapa saya dengan seekor haiwan. Saya amat kecewa dan marah,” katanya dipetik FMT.

Semalam, beberapa wakil TV3 dan Primework Studios yang menerbitkan program Sukan Tak Sentral, mengadakan pertemuan dengan Watson di Miri, Sarawak.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios, Datuk Ahmad Izham Omar; pengacara program, Azizul Ammar Abu Hassan dan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, sebagai orang tengah.

Sabtu lalu, program terbabit yang disiarkan TV3 mengejek Watson Nyambek dengan meniru bunyi kambing mengembek.

Walaupun Azizul sudah mengemukakan permohonan maaf, namun beliau kini digantung kerja.

Sebelum ini, bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu membuat laporan polis Balai Polis Pusat Miri, pada jam 9.20 pagi ditemani isterinya, Felliza Michael Samdon bersama lebih 20 orang mewakili 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :