Selangorkini
SELANGOR

Worldwide Holdings lancar hartanah strategik

SHAH ALAM, 29 APRIL: Syarikat pemaju hartanah terkemuka, Worldwide Holdings Berhad melancarkan produk hartanah berpremium tinggi di lokasi gabungan strategik di Koridor Subang-Sungai Buloh.

Worldwide dalam kenyataan berkata, projek dengan persekitaran menarik dan harga kompetitif itu memilih Subang Bestari sebagai lokasi ekoran ia semakin popular serta dikenali di Lembah Klang.

Katanya, tumpuan diberikan terhadap pembinaan rumah banglo Amber berkonsepkan gaya hidup mewah dengan ciri rekaan eksklusif dan moden impian keluarga yang menitikberatkan suasana peribadi serta tenang.

“AMBER dibina berkonsepkan kontemporari moden dan susun atur terbuka untuk menambah ruang lebih fleksibel, termasuk ruang landskap menghijau yang luas.

“Projek ini turut menawarkan suasana yang mampu mencetuskan keinginan kepada pembeli untuk memiliki rumah idaman dengan kepadatan rendah iaitu enam unit di kawasan seluas 0.4 hektar,” katanya.

WhatsApp Image 2017-04-29 at 8.02.28 PMWorldwide turut memperkenalkan pakej menarik kepada pembeli terawal untuk menarik lebih ramai prospek memiliki hartanah di puncak kemewahan Subang Bestari.

Katanya, projek itu menerima sambutan menggalakkan selain menerima anugerah khas daripada StarProperty 2017 di bawah kategori “The Best Touch & Feel – Best Quality & Finishing”, baru-baru ini.

“Worldwide menjangkakan produk ini mampu menarik minat pembeli dengan keunikan tersendiri memandangkan harga ditawarkan adalah kompetitif bermula dari RM2.7 juta hingga RM5 juta.

“Projek hartanah mewah ini mempunyai empat kategori rumah iaitu Jenis I berkeluasan 4,369 kaki persegi; Jenis II (5,672 kaki persegi); Jenis III (5,403 kaki persegi) dan Jenis IV (6,365 kaki persegi),” katanya.


Pengarang :