Selangorkini
SELANGOR

143 kenderaan buruk dilupus, MPS serius perindah stadium

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 9 MEI: Sebanyak 143 kenderaan di Depoh Simpanan Kereta Buruk Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendapat kelulusan lupus daripada pihak berkuasa tempatan itu bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi terbabit bertujuan memperindahkan kawasan sekitar Stadium Selayang memandangkan ia akan digunakan dalam acara pada Sukan SEA ke-29 Ogos ini.

Katanya, ia juga bertujuan membendung masalah pembiakan nyamuk denggi.

“Depoh tersebut menyimpan 344 kenderaan buruk dan 143 daripadanya mendapat kelulusan pelupusan.

IMG_0150“Manakala selebihnya akan dilakukan secara berperingkat mengikut prosedur dan tiada sebarang masalah diperingkat polis dan mahkamah,” katanya kepada Selangor Kini selepas melawat tapak depoh simpanan kereta buruk, di sini hari ini.

Zin berkata, kerja pembersihan kenderaan buruk bagi tujuan pelupusan itu dilaksanakan oleh kontraktor dilantik melalui tender.

“Maksimun satu hari pihak kontraktor boleh mengeluarkan 20 kenderaan buruk dari depoh ini.

“Kita akan pastikan depoh bersih dan diturap dengan batu bagi memperindahkan perkarangan depoh sebelum 30 Jun,” katanya.

Sebelum itu, MPS juga telah menjalankan operasi pemeriksaan, larvaciding dan fogging bagi memastikan kawasan itu bebas dari pembiakan nyamuk aedes.


Pengarang :