Selangorkini
NASIONAL

Alasan menteri mengarut, halalkan cara kaut untung?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 MEI :Tidak mustahil menteri memberikan pelbagai alasan ‘menghalalkan cara’ bagi melaksanakan pelan kajian yang tidak relevan di peringkat nasional kata Bendahari Agung KEADILAN, Dr Tan Yee Kew.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kajian larangan ruang letak kenderaan bangunan.

Beliau berkata, pelaksanaan pelan tidak masuk akal itu hanya mendorong kepada peningkatan kos kepada Persekutuan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

“Ini persoalan utama yang perlu dijawab oleh Menteri sebelum membuat kajian lanjutan.

Tan Yee Kew“Kenyataan ini hanyalah menghalalkan sebarang bayaran kos untuk kajian yang tidak relevan,” katanya dalam kenyataan.

Tanpa perlu melaksanakan kajian yang disifatkan ‘mengarut’ katanya, DBKL perlu mengambil inisiatif bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana untuk berbincang dan mengambil tindakan mengenai kaedah meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

“Antaranya, wujudkan jaringan yang lebih menyeluruh dan sistematik dengan memastikan pergerakan bas dan tren dapat menghubungkan dua destinasi lebih cepat.

“Pelarasan masa ketibaan juga perlu dilaksanakan agar penumpang tidak membazir masa semata-mata menunggu dalam tempoh lama,” katanya.

Pengangkutan AwamKatanya lagi, tambang kos pengangkutan awam juga perlu dikurangkan berpandukan nilai pemberian subsidi Persekutuan atau memperluaskan perkhidmatan bas percuma melalui konsep diskriminasi harga seperti negara luar.

“Prasarana perlu berusaha menambah hasil bukan tambang terutama melalui servis pengiklanan.

“Amalan ini telah diimplimentasikan pengusaha pengangkutan awam di negara luar sebagai cara menambahkan pendapatan tanpa menaikkan tambang penumpang,” katanya.


Pengarang :