Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Berubah tolak Umno-BN elak negara muflis macam Greece

OLEH: NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 23 MEI: Rakyat diingatkan segera bertindak dengan menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang bagi mengelakkan negara ini daripada muflis seperti dihadapi Greece.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ekonomi negara akan hancur sekiranya Umno-BN diberi peluang sekali lagi berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Apabila pelaburan kita merudum, yang terkesan anak-anak kita. Lihat sekarang kadar pengangguran meningkat, bukan sahaja mereka yang tidak ada kelulusan, graduan juga tidak ada pekerjaan.

“Sampai bila kita harus berada dalam keadaan ini? Adakah kita nak tunggu negara kita muflis barulah kita nak buat perubahan? Sudah tentulah masa yang terbaik adalah masa terdekat ini untuk kita melakukan perubahan,” kata Mohamed Azmin pada program ceramah umum Selamatkan Malaysia di Dewan Sri Siantan di sini, malam tadi.

Azmin ceramahJelasnya, sekiranya perkara itu berlaku bakal menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil masa yang lama untuk memulihkan kembali ekonomi negara.

Katanya, pelabur asing pada masa ini sudah semakin menjauhkan diri daripada Malaysia ekoran kehilangan keyakinan terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Lihat sahaja pelabur asing di Malaysia, sudah hilang keyakinan. Ini bukan sahaja faktor ekonomi tetapi faktor keyakinan juga penting dan mengambil masa cukup lama kembalikan keyakinan pelabur melabur di Malaysia,” katanya.

Tambah Mohamed Azmin, keyakinan pelabur akan dapat dipulihkan sekiranya Pakatan diberikan tempat di Putrajaya.

=EZY=


Pengarang :