Selangorkini
SELANGOR

DASH, alternatif selesai kesesakan aliran trafik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MEI: Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mampu menyelesaikan masalah lalu lintas di Persiaran Mokhtar Dahari dan Kota Damansara terutamanya pada waktu puncak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad optimis pembinaannya membolehkan penduduk menikmati akses lebih mudah untuk laluan ke Kuala Lumpur dan jajaran laluan menghala ke Utara dan Selatan tanah air.

“Ia menjadi semakin mudah kepada pengguna untuk memasuki jalan ke Kuala Lumpur atau pengguna yang ingin ke Utara dan Selatan selepas ini.

“Selain jarak yang lebih dekat, ia juga memudahkan pengguna tanpa melalui tersekat dalam kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada pertemuan sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Cahaya SPK Clubhouse, malam tadi.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

Pembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna mengelakkan kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke Utara dan Selatan tanah air.

Ia dijangka siap sepenuhnya dan akan mula dibuka kepada pengguna Ogos 2020 depan.

Terdahulu, pembinaan DASH menjadi kontroversi susulan bantahan keras penduduk setempat yang mendakwa prosedur pembinaan lebuh raya itu lebih menyukarkan penduduk.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sebelum ini memberi jaminan projek berkenaan tidak akan diteruskan sekiranya wujud pelanggaran pematuhan dasar di bawah undang-undang sedia ada.

Malah, Kerajaan Negeri juga sebelum ini mengambil pendirian tegas mencari solusi terbaik dengan mengambil kira pandangan untuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

Terdahulu, (Prolintas) menandatangani perjanjian konsesi bersama Kementerian Kerja Raya pada September 2013 sekali gus membolehkan syarikat itu memungut kutipan tol bagi tempoh 68 tahun.

=EZY=


Pengarang :