Selangorkini
SELANGOR

DASH patuh prosedur, utama keselamatan penduduk

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MEI : Syarikat Pemaju, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memberi jaminan pembinaan jajaran Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH) mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan Kerajaan Negeri.

Pengurus Besarnya, Latib Rasol berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja pemantauan di tapak lokasi secara konsisten bagi memastikan aspek keselamatan penduduk terjamin.

“Apabila cadangan untuk membina jajaran lebuh raya ini dibentangkan, kita telah menyediakan pelan perancangan persekitaran kepada Jabatan Alam Sekitar dan agensi kerajaan terlibat.

“Isu keselamatan tentulah menjadi keutamaan kami disamping faktor kualiti udara, gegaran dan sebarang kesan jangka panjang pembangunan lebuh raya ini.

“Walaupun projek ini belum dijalankan secara menyeluruh, namun untuk tempoh ini kami kerap melakukan pemantauan dengan menyediakan laporan penuh kepada Jabatan Alam Sekitar setiap tiga bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil pandangan serius aduan penduduk setempat bagi kelancaran pembangunan projek di bawah kelulusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

DASH“Kita tidak mahu berlakunya sebarang masalah kerana keutamaan projek lebuh raya ini adalah untuk memudahkan penduduk terutamanya bagi laluan ke Kuala Lumpur dan penghubung laluan jajaran Utara dan Selatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria di Cahaya SPK Clubhouse yang turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

Pembinaan menelan belanja RM4.17 bilion itu dibangunkan di sepanjang laluan jajaran 21 KM menghubungkan Puncak Perdana dan Penchala.

Ia dijangka siap sepenuhnya dan akan mula dibuka kepada pengguna Ogos 2020 depan.

=EZY=


Pengarang :