Selangorkini
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Ekspo Antarabangsa Selangor 2017 peluang lonjak pelaburan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MEI: Agensi promosi pelaburan, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) optimis dengan penganjuran Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) 2017 yang mampu membantu melonjakkan pelaburan lebih tinggi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hassan Azhari Idris berkata, program tahunan itu menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya menjana anggaran nilai transaksi RM100 juta pada tahun lalu.

Katanya, Invest sekaligus menjangkakan meraih pelaburan RM6.5 bilion berbanding RM6 bilion tahun sebelumnya.

“Walaupun jumlah transaksi itu tidak membabitkan jumlah sebenar, namun kami yakin ia membantu meningkatkan pelaburan di negeri ini disamping melaksanakan aktiviti promosi berterusan melalui kerjasama agensi kerajaan dan misi promosi ke luar negara,” katanya.

Hassan berkata SIE 2017 merupakan pameran perdagangan tahunan bagi perdagangan dan pelaburan yang dianjurkan sejak 2015 bagi tujuan menjadikan Selangor hab perniagaan serta perdagangan di rantau Asean serta menjadi pintu gerbang ke rantau ini.

Katanya, fokus utama penganjuran SIE 2017 ialah industri berpotensi seperti sains hayat, makanan dan minuman serta produk halal.

“Melalui acara ini, kami bukan sahaja mempromosikan pasaran Selangor dan Malaysia, malah termasuk Asean juga menawarkan potensi besar syarikat yang boleh menjadikan Selangor sebagai pusat pengeluaran, pengedaran dan ibu pejabat bagi rantau ini,” katanya.

Beliau turut yakin SIE 2017 mampu menarik penyertaan lebih banyak syarikat tempatan dan luar negara ekoran Selangor memiliki pelbagai kelebihan daripada aspek lokasi dan tenaga kerja mahir yang banyak dihasilkan melalui kewujudan universiti tempatan.

SIE 2017 bakal berlangsung selama 10 hari bermula 7 hingga 17 September depan bagi merancak dan memperkasakan lagi ekonomi Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, SIE 2017 memasuki kali ketiga penganjurannya dilanjutkan dari tiga hari kepada 10 hari ekoran sambutan yang memberangsangkan dari pelabur tempatan dan luar negara.

“Usaha memantapkan e-dagang, bio teknologi, aero angkasa, industri halal dijadikan sasaran perdagangan antarabangsa melalui SIE ini. Ia kerana industri ini makin berkembang selari arus ekonomi dunia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :