Selangorkini
SELANGOR

EnviroRace erat hubungan MPSJ dan media

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Program EnviroRace (Environmental Race) bersama rakan media sempena ulang tahun Ke-20 pihak berkuasa tempatan itu, semalam.

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, program itu bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada rakan media serta simbolik meraikan sambutan ulang tahun ke-20 MPSJ.

Katanya, MPSJ juga buat julung kalinya berkolaborasi dengan badan korporat Sunway Group bagi menganjurkan acara itu.

“Selaras dengan hasrat MPSJ ke arah Bandar Hijau 2030 dan bersempena sambutan Hari Alam Sekitar, program pada kali ini berkonsepkan inisiatif hijau.

“Peserta akan menjalankan aktiviti ‘Treasure Hunt’ secara berjalan kaki tanpa menggunakan kenderaan bermotor yang akan menyumbang kepada pelepasan hodrokarbon, gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida ke atmosfera,” katanya ketika majlis penutup program itu di Sunway Lagoon, semalam.

IMG-20170507-WA0001Hisham berkata, bagi merapatkan hubungan antara MPSJ dan media, majlis apresiasi diadakan setiap tahun bagi menzahirkan penghargaan kepada media yang sentiasa membuat liputan positif berkenaan MPSJ.

Katanya, sepanjang tahun lalu, MPSJ menerima 2,703 liputan membabitkan akhbar utama sebanyak 1,892 dan media elektronik (811).

“Pihak media memain peranan penting bagi PBT mahupun badan korporat untuk pembangunan lebih baik.

“MPSJ juga amat berterima kasih kepada badan korporat Sunway Group dalam usaha merealisasikan program ini secara kolaboratif dan rakan media yang sentiasa memberi komitmen dan kerjasama,” katanya.


Pengarang :