SUKANKINI

FAS dibidas, berhenti buruk imej Kerajaan Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APR: Kerajaan Negeri memberi amaran keras kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) supaya tidak memburukkan imej Kerajaan Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, usaha Kerajaan Negeri dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor sebelum ini dibuat dengan penuh ihsan.

Katanya, Kerajaan Negeri turut gembira sekiranya FAS tidak lagi mahu menggunakan padang SUK yang dijadikan tempat latihan pemain Red Giants ketika ini.

PADANG SUK“Kita akan lebih gembira untuk mengambil padang itu semula. Tidak ada masalah mereka boleh serahkan kepada kita semula.

“FAS boleh keluar dan mencari padang lain yang lebih sesuai dengan pemain mereka.

“Sebelum ini kita buat dengan penuh ihsan, kita tidak mahu menekan mereka dan tidak mahu perubahan yang drastik,” katanya ketika ditemui.

Amirudin mengingatkan FAS bahawa padang SUK itu diselenggarakan oleh persatuan terbabit bukan Kerajaan Negeri.

“Jika mereka kata padang itu tidak berkualiti ia dari FAS sendiri kerana mereka yang menyelenggaranya. Kalau rasa tidak sesuai Kerajan Negeri sedia mengambil balik.

“Kita boleh berikan kepada banyak lagi persatuan lain atau sebagai pusat perkembangan bola sepak kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata isu bola sepak itu merupakan permainan individu tertentu yang rapat dengan politik Barisan Nasional.

YB AMIR“Mereka menuduh kita mempolitikkan isu ini. Saya nak tanya Datuk Seri Subahan siapa yang mempolitikkannya?

“Berkenaan dengan hala tuju, Kerajaan Negeri berhak memilih mana-mana yang dirasakan lebih berdaya saing untuk jangka panjang.

“Kita bukan mahu menang piala satu dua tahun sahaja kita nak merangka jangka masa panjang,” katanya.

 


Pengarang :