Selangorkini
BERITA UTAMA EKONOMI

Harga minyak dunia terus susut

NEW YORK 2 MEI: Harga minyak mentah susut satu peratus semalam berikutan peningkatan hasil di Libya.

REUTERS melaporkan penyusutan itu juga didorong oleh tindakan Amerika Syarikat (AS) berhadapan dengan pengeluar OPEC bertujuan untuk menyelesaikan kemelut lebihan bekalan global.

Petanda pertumbuhan pengeluaran di China yang lebih perlahan daripada jangkaan dan data yang lebih lemah dalam sentimen pengeluaran AS juga memberi kesan kepada permintaan minyak mentah dan pasarannya.

Minyak penanda aras global, Brent bagi Julai ditutup rendah 53 cents kepada AS$51.52 setong manakala minyak mentah AS bagi Jun susut 49 cents atau satu peratus kepada AS$48.84 setong.

Jumlah dagangan adalah terhad dengan 336,000 kontrak niaga hadapan AS bertukar tangan, kurang daripada purata harian sebanyak 520,000 kontrak. Harga minyak AS susut dalam sembilan daripada 13 sesi terdahulu.

Pengurus Penyelidik Pasaran di Tradition Energy, Gene McGillian berkata pasaran terus menunjukkan aliran menurun. Minyak mentah AS telah kerugian hampir sembilan peratus sejak 11 April lalu, didorong oleh ketidaktentuan pasaran.

Selain itu, ia juga disebabkan oleh inventori minyak mentah yang perlahan di seluruh dunia selepas pengeluar utama bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran kepada 1.8 juta tong sehari bagi separuh pertama tahun ini.

Negara pengeluar OPEC dan bukan OPEC akan bermesyuarat pada 25 Mei ini untuk membincangkan sama ada perjanjian pengurangan itu perlu diteruskan atau tidak.

=EZY=


Pengarang :