Imaginasi dan ruang-ruang falsafah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Imaginasi dan ruang-ruang falsafah

Oleh Mohd Hasnul Mohd Sani

FALSAFAH adalah satu bidang yang amat sukar malahan ada orang yang menganggap falsafah sebagai satu bidang yang amat tinggi ientelektualnya. Ijazah tertinggi dalam pendidikan juga digelar dengan doktor falsafah. Tetapi adakah penulis tidak boleh berfalsafah dalam penulisannya?

Hidup ini ada kelembutan dan ini boleh didapati dari sastera. Dengan permainan bahasa, sastera boleh menjadi satu benda yang mengasyikkan atau menjelekkan. Semuanya terpulang kepada pemain bahasa iaitu penulis. Sastera yang baik adalah sastera yang bermakna dan membawa perubahan pada masyarakat. Tidak guna menghafal Sonnet 18 oleh Shakespeare jika puisi ini hanya digunakan untuk memikat gadis manja. Lebih baik menghafal The Road Not Taken oleh Robert Frost yang lebih mudah tetapi banyak pengajaran. Tetapi sebagai rakyat Malaysia, bait sajak Usman Awang ini harus direnungi “suatu bangsa tidak akan manjadi besar, tanpa memiliki sifat kurang ajar.” Sastera adalah cerminan bagi kekuatan peradaban sesuatu bangsa. Bangsa yang besar maka makin besarlah aktiviti kesusasteraan. Jika sains memudahkan kehidupan manusia dengan penciptaan pelbagai jenis peralatan, sastera pula menciptakan perasaan dan hati nurani manusia.


Esei ini saya tulis sambil berpegang dengan pepatah dan falsafah “Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang.” Pepatah ini sudah klise kerana sudah diambil guna untuk ribuan kali untuk menyatakan yang kata-kata adalah lebih hebat kesannya dari kekerasan. Mata pena sudah semakin kurang digunakan untuk menulis dan kini komputer telah mengambil kegunaan mata pena untuk menyampaikan kata-kata. Kata-kata yang datang dari fikiran akan mengambil tempat di jemari atau di mulut. Kata-kata yang keluar dari mulut, kesannya kurang didingati tetapi bisanya melekat di hati. Ada satu pepatah yang berkaitan iaitu “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Penulisan yang baik adalah penulisan yang berfalsafah. Falsafah tidaklah memerlukan tahap intelektual sehebat Aristotle atau Plato. Falsafah sendiri bermaksud suka kepada hikmah (love of wisdom) maka manusia yang suka berfikir memang seorang ahli falsafah. Saya tidak berminat untuk mengisahkan sejarah hidup sesiapa dalam esei ini kerana bukanlah tujuan utama tulisan ini untuk bercerita tentang ahli falsafah yang telah lama pergi tetapi masih disebut-sebut sehingga kini. Apabila menyebut mengenai falsafah, ramai penulis sebolehnya mengelakkan untuk berfalsafah dalam penulisan. Antara falsafah penulisan yang terkenal adalah yang dipegang oleh ASAS 50 iaitu Sastera Untuk Masyarakat. Alasan penulis menolak falsafah dalam penulisan demi untuk mengelakkan diri terjerat dalam sastera propaganda. Ini menyebabkan kebanyakan hasil sastera yang ada sekarang adalah sastera yang bercorak pengalaman individu dan tidak menyumbang kepada penambahan kebijaksanaan pada masyarakat. Saya menafsirkan sastera propaganda adalah seperti tulisan George Orwell yang terkenal iaitu Animal Farm. Dalam buku ini secara jelas Orwell menolak kuasa diktator dan komunis ketika Amerika dan Soviet sedang berkecamuk dalam Perang Dingin.

Penulis yang berpegang pada falsafah dalam penulisan akan mempunyai suatu tujuan dalam karyanya. Tulisannya bukanlah bermaksud untuk suka-suka mengikut ilham penulis. Memang mengubah orang lain lebih sukar dari mengubah diri sendiri tetapi penulisan saja cara yang sesuai untuk memberitahui idea atau penindasan yang dihadapi oleh masyarakat dan mengajak masyarakat untuk merenung bersama ketempangan yang terjadi dalam masyarakat. Sastera bukan berperanan untuk merekod perjuangan bangsa tetapi turut berperanan untuk menyalakan percik-percik api perubahan. Sastera yang baik akan menyedarkan masyarakat tentang situasi masyarakat. Dalam keadaan masyarakat yang tertindas dan ada juga masyarakat yang masih tercari-cari lorong cahaya dalam kegelapan, peranan sastera bukanlah hanya untuk bercerita tentang kereta kesayangan, hantu di asrama atapun kisah masyarakat kampong. Sastera mempunyai peranan lebih penting dari ini.

Dalam kesedaran masyarakat yang menampakkan munculnya penulis-penulis muda yang prolifik, agak mendukacitakan apabila ramai penulis yang lahir lebih selesa dengan penulisan yang bercorak sendiri. Ini bukannya matlamat sebenar penulisan. Penulis harus muhasabah diri untuk mengetahui apakah matlamat meraka dalam penulisan. Adakah hanya untuk mendapatkan royalti ataupun beperanan lebih daripada itu. Menjadi satu kekecewaan apabila penulisan digunakan untuk mendirikan menara nama dari mendirikan menara pemikiran.

Saya terbaca satu tafsiran yang penulis ialah orang yang mengurung dirinya di dalam bilik untuk hanyut dalam khayalan untuk menghasilkan penulisan. Sebagai seorang penulis, yang paling utama adalah untuk memahami masyarakat dan menulis kisah masyarakat untuk tatapan orang ramai. Senjata penulis adalah kata-kata tajam yang dapat menembus jantung sang penindas. Benarkah penulis hanya perlu terkurung dalam bilik bersama imaginasi? Bagaimana penulis mahu mengajak masyarakat membaca dan meningkatkan kepintaran masyarakat jika penulis sendiri hanyut dalam imaginasi dan lari dari realiti? Ini tidak ada bezanya dengan sang penagih dalam dalam dunianya khayalan imaginasi. Penulis harus turun ke kancah masyarakat untuk mengambil pengajaran (kata Arabnya Ibrah) dan dari pengajaran ini barulah penulis menggunakan imaginasi untuk menarik minat masyarakat membacanya. Inilah baru bergunanya imaginasi. Jika sesebuah kisah hanyalah imaginasi semata-mata, maka cerita ini akan terkenal serata dunia tetapi tidak memberi impak pada masyarakat. Sebagai contoh novel karangan Paulo Coelho iaitu The Alchemist. Novel ini bukan sahaja mengilhamkan pembacanya untuk mengejar impian tetapi membawa pembaca untuk mengenal ilmu alkimia. Bandingkan pula dengan novel Harry Potter yang membawa pembaca ke dalam dunia fantasi yang tidak akan membawa apa perubahan kecuali mengajak kanak-kanak memasang impian untuk menjadi ahli sihir. Mengajak kanak-kanak untuk menunggang penyapu untuk dijadikan kenderaan dan berkhayalkan tongkat ajaib.

Shahnon Ahmad dalam buku Gubahan Novel mengatakan yang penulis tidak boleh dicipta. Ada benarnya pendapat ini. Seorang penulis tidak mungkin akan dapat membentuk seseorang menjadi penulis jika minat tidak wujud dalam diri orang itu. Wan Nor Azriq pula berkata yang penulis perlu mencipta ruang. Setiap manusia mempunyai dunia dan ruang yang tersendiri. Dalam ruang, penulis boleh penuhkan dengan apa saja. Boleh dipenuhkan dengan fantasi mengembara ke alam angkasa seperti Star Trek ataupun mengembara ke alam magik fantasi seperti The Wizard Of Oz. Dalam ruang inilah pengarang akan membuka dan menutup, menconteng dan melukis, menulis dan mengarang atau apa saja yang menarik.

Memetik kata-kata Einstein, “imaginasi boleh mengelilingi dunia” maka seorang penulis tidak harus hanya terbatas dalam ruang lingkup yang sama dalam menggunakan imaginasi. Ruang penulis tidak harus sempit dengan idea-idea dari penulis lain sehingga menenggelamkan identiti diri sendiri dalam ruang penulisan. Penulis perlu bijak dalam mencipta dan mengemas ruangan mereka supaya sentiasa menarik perhatian. Ruang ini perlu dipenuhi dengan idea-idea yang dapat membangunkan masyarakat kerana tanggungjawab penulis bukan sekadar menulis tetapi menyampaikan kebenaran.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Terdahulu

Kaabah

BERITA BERKAITAN

Prev
Next