Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Jambatan ketiga Klang tambah baik aliran trafik

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 24 MEI: Pembinaan jambatan ketiga Klang diusahakan Kerajaan Negeri bertujuan menambah baik sistem aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar ini.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata projek bermula 17 Julai 2014 dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun ini.

Ia membabitkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang sepanjang 1.7 kilometer (km) dan laluan keseluruhan 2.5 km.

“Tujuan pembukaan laluan jambatan hari ini adalah bagi memenuhi Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) peringkat keempat di mana pelaksanaan ini perlu dibuat untuk menilai keberkesanan ciri keselamatan diterapkan pada reka bentuk jambatan.

Jambatan Ketiga Klang“Kejayaan pelaksanaan projek ini menjadi tanda aras keprihatinan Kerajaan Negeri yang begitu mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan penduduk setempat dalam usaha menangani kesesakan lalu lintas terutama di pusat bandar Klang,” katanya kepada media selepas Majlis Pra-Pembukaan Laluan Jambatan Ketiga Klang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, skop kerja utama projek itu meliputi kerja struktur seperti cerucuk, tiang jambatan dan ‘segmental box girder’ serta kerja pelebaran jalan dan menaik taraf sistem perparitan.

“Kos keseluruhan pembinaan jambatan ini berjumlah RM199,156,069.39 dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri menggunakan rezab negeri hasil daripada dasar penjimatan dan perbelanjaan berhemah diamalkan sejak 2008,” katanya.

 

=EZY=


Pengarang :